2 April 2023, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenal pasti sebanyak 221 cerun kritikal yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak yang berkaitan, terutamanya ketika musim monsun melanda.

Oleh yang demikian, ahli geologi perlu sentiasa peka bagi memastikan penduduk yang terdedah kepada bencana geologi ini diberikan pengetahuan yang mencukupi agar insiden seperti yang berlaku di Batang Kali pada Disember tahun lalu tidak berulang kembali.

“Insiden yang mengorbankan 31 nyawa di Batang Kali pada tahun lalu boleh dielakkan jika semua pihak memberikan perhatian serius terhadap pembangunan di sesuatu kawasan dengan memastikan tapak yang hendak dibangunkan berada dalam keadaan stabil, selamat dan tidak berisiko mengalami bencana geologi seperti tanah runtuh serta aliran puing yang telah beberapa kali berulang juga perlu diberikan perhatian,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ahli geologi di Malaysia adalah antara ahli profesional yang terawal dalam membantu pembangunan negara bagi mencari dan meneroka sumber mineral, iaitu sumber bijih timah serta menyumbang pelbagai ilmu dan tenaga di negara ini sejak lebih daripada 100 tahun yang lalu.

Kini, industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sedang giat dilaksanakan bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara dan ahli geologi di negara ini juga digalakkan untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui seperti geoterma kerana terdapat beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

Jelas beliau lagi, NRECC melalui JMG juga terlibat secara langsung dalam merangka Pelan Strategik Air Tanah, 2021-2040 bagi menyokong agenda Water Sector Transformation 2040 (WST 2040) untuk memastikan sumber bekalan air negara terus berada dalam keadaan mampan melalui kajian terhadap sumber air di bawah tanah yang berterusan dan boleh digunakan secara konjungtif.

Selain itu, Pelan Pembangunan dan Pelaksanaan Geopark Negara juga sedang giat dibangunkan agar pembangunan geopark di Malaysia dapat dilaksanakan secara terkawal dan lestari serta kejadian bencana geologi turut dipantau dan dikawal dengan rapi.

Pada masa yang sama, NRECC turut terlibat dalam melaksanakan Arahan No. 20 dalam Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, iaitu menjalankan Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti bagi mengurangkan risiko ancaman bencana geologi sama ada kehilangan nyawa ataupun harta benda.

Sesuai dengan tema sambutan Hari Ahli Geologi, yakni “Ahli Geologi Memacu Perubahan”, ahli geologi dan ahli geosains di Malaysia perlu menggembleng tenaga dalam memacu kepada perubahan di negara ini bukan sahaja dari aspek teknikal dan ilmiah semata-mata, malah meningkatkan usahasil sumber geologi, khususnya sumber mineral, hidrokarbon (minyak dan gas) dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.

Selaras dengan hala tuju NRECC dalam mendukung gagasan Malaysia Madani agar negara ini dibangunkan dengan tatakelola pentadbiran yang baik, ahli geologi perlu berusaha dalam memberikan sumbangan dan bekerjasama dengan semua entiti yang terlibat dalam pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.