Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seminar Pengenalan kepada Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran Persatuan Pelajar MIHA Student Chapter, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama-sama Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri serta Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM Kampus Kuala Lumpur membincangkan skop tugas dan kepentingan pelantikan seorang penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja.
Seminar yang diadakan di Dewan Kuliah 1, Blok N, UKM Kampus Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Seminar Pengenalan kepada Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.
“Saya berasa amat gembira kerana hajat untuk menganjurkan seminar yang berkaitan dengan skop tugas dan kepentingan pelantikan seorang penyelaras KKP di tempat kerja telah dapat direalisasikan dan mendapat sambutan yang baik daripada para peserta,” kata YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang.
Seminar ini dikendalikan oleh wakil daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Ts. Tuan Haji Mohd Esa Haji Baruji merangkap Pakar Teknikal 1 di Bahagian Perunding, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan NIOSH yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Beliau yang berpengalaman bekerja selama 23 tahun dalam bidang KKP telah banyak terlibat sebagai penceramah dan pengajar dalam pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan bidang KKP, sama ada yang dianjurkan oleh NIOSH atau agensi luar.
Dalam seminar tersebut, para peserta didedahkan tentang NIOSH yang merupakan pusat pengajar penyelaras KKP dan Pelan Induk KKP Negara (2021-2025), iaitu Keperluan Perundangan KKP yang merujuk keperluan melantik penyelaras KKP seperti yang dinyatakan dalam Akta A1648, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022).
Selain itu, hal berkaitan dengan kelayakan, tanggungjawab dan kelebihan menjadi penyelaras KKP juga dijelaskan dalam seminar berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan para peserta.
Pada masa yang sama, latihan dan kandungan berkenaan dengan modul kursus penyelaras KKP juga diperkenalkan bagi membolehkan para peserta mengetahui topik yang akan diajar sebelum melayakkan diri menjadi penyelaras KKP serta diterangkan juga maklumat dan kelayakan bagi keperluan laluan kerjaya sebagai penyelaras KKP.
Melalui seminar itu, kesemua peserta dapat memahami dengan lebih jelas mengenai skop tugas sebagai seorang penyelaras KKP dan menjadi lebih peka terhadap keperluan majikan dalam melantik sekurang-kurangnya seorang penyelaras KKP bagi membantu majikan menyelaras pematuhan perundangan dan penganjuran pelbagai program KKP di tempat kerja masing-masing.
Seminar tersebut dihadiri oleh 139 orang peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, FSK, UKM bagi merebut peluang menimba ilmu pengetahuan untuk menjadi seorang penyelaras KKP selepas tamat pengajian.