1 April 2023, 21:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Praklinikal Optometri yang disertai oleh pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu meningkatkan kemahiran klinikal para pelajar agar lebih bersedia sebelum memulakan tahun klinikal dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat umum.

Bengkel yang diadakan selama seminggu ini dijayakan oleh Dr. Woi Pui Juan, pensyarah akademik dan klinisian Program Optometri ini menerapkan pelbagai sesi kuliah, perbincangan antara kumpulan kecil dan sesi praktikal, yakni setiap pelajar optometris pelatih menjalankan pemeriksaan mata komprehensif kepada pesakit sebenar untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang prosedur klinikal optometri.

“Menerusi bengkel ini, pelajar akan lebih bersedia untuk melangkah ke alam klinikal dan memberikan perkhidmatan optometri yang terbaik kepada para pesakitnya,” kata Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin.

Sesi “Penyarungan Jubah Putih” bagi pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai simbolik tanggungjawab klinikal yang digalas oleh setiap pelajar optometris pelatih.

Pada masa yang sama, sesi “Penyarungan Jubah Putih” dijalankan sebagai simbolik tanggungjawab klinikal yang digalas oleh setiap pelajar optometris pelatih untuk memberikan perkhidmatan penjagaan mata primer dengan standard tertinggi kepada pesakit dengan penuh profesional sebaik sahaja menginjak ke alam klinikal pada Mei nanti.

Dalam program tersebut juga, para pelajar melafazkan “Ikrar Pelajar Klinikal” yang diketuai oleh wakil pelajar, Encik Asyraf Zulhakim Shamsul sebagai peringatan kepada para pelajar tentang kepentingan profesion optometri dan peranan kritikal yang dimainkan oleh profesional penjagaan kesihatan mata kepada masyarakat.

Lafaz “Ikrar Pelajar Klinikal” daripada pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh wakil pelajar, Encik Asyraf Zulhakim Shamsul.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya menyediakan asas yang kukuh dalam kemahiran praklinikal yang diperlukan untuk berjaya sebagai pelajar optometris pelatih dan sesi “Penyarungan Jubah Putih” berkenaan adalah sangat bermakna kepada pelajar dalam meraikan kemasukan mereka ke alam profesion optometri serta bersedia dengan komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.