Oleh Firdaus Mul
27 Mac 2023, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rawatan apitheraphy atau dikenali sebagai terapi lebah ialah satu daripada rawatan alternatif yang berasaskan bisa dan produk lebah yang digunakan untuk merawat masalah kesihatan.

Produk lebah bukan tertumpu kepada madu semata-mata, malah produk debunga lebah, propolis, madu ratu lebah, lilin dan anak lebah turut digunakan untuk rawatan apitheraphy.

“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang memberikan rawatan apitheraphy kepada pesakit dalam tempoh 15 tahun ini, saya mendapati bahawa pelbagai masalah kesihatan berjaya dirawat dengan menggunakan rawatan tersebut seperti masalah kulit, cakera teranjak dan sinus,” kata Pengasas Rawatan Lebah, Rosli Khalid menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Pengasas Rawatan Lebah, Rosli Khalid.

Beliau juga menjelaskan bahawa rawatan apitheraphy boleh dilakukan terhadap bayi seawal tiga bulan, misalnya bayi yang mengalami masalah kulit kerana terdapat produk yang diolah daripada produk lebah dan dijadikan krim.

“Rawatan apitheraphy boleh dimulakan dengan menggunakan dua ekor lebah bagi penyakit biasa, manakala boleh mencecah hingga 50 ekor penggunaan lebah untuk merawat penyakit yang ekstrem seperti masalah payudara,” ujar beliau.

Jika melibatkan penyakit kronik, saya mengesyorkan agar pesakit membuat rawatan sebanyak 30 sesi, yakni selama 30 hari dan perlu mendapatkan rawatan ini setiap hari.

Topik berkenaan dengan rawatan apitheraphy dikupas oleh Pengasas Rawatan Lebah, Rosli Khalid (kiri) menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut menyatakan bahawa lebah daripada spesies Apis mellifera adalah antara jenis lebah yang digunakan untuk rawatan apitheraphy di seluruh dunia.

“Sesiapa yang ingin mendapatkan rawatan apitheraphy, mereka digalakkan untuk mendengar taklimat berkenaan dengan rawatan ini bagi membolehkan pesakit memahami kaedah rawatan apitheraphy dan mengelakkan sebarang kesukaran ketika rawatan dijalankan,” katanya lagi.

Pada akhir sesi temu bual, beliau menegaskan bahawa pendedahan terhadap rawatan apitheraphy sebagai satu daripada alternatif untuk merawat pelbagai penyakit dapat disebarluaskan kepada masyarakat agar manfaatnya dapat diperoleh, terutamanya bagi pihak yang sememangnya memerlukan pertolongan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.