Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlex Rossetto dan Luke Parkin merupakan pelajar dan atlet di Universiti Northumbria, United Kingdom. Sebagai atlet, mereka mempunyai kecergasan yang tinggi dan dipilih untuk menyertai satu kajian berkaitan dengan senaman dan kafein.
Pada hari kajian tersebut, semuanya berjalan seperti biasa. Mereka perlu mengambil dos kafein yang ditetapkan dan menjalankan protokol senaman. Namun begitu, ujian terpaksa dihentikan serta-merta kerana kedua-dua mereka secara tiba-tiba mengalami sakit kepala yang sangat teruk, loya, muntah dan menggigil. Mereka kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital selama seminggu. Mereka juga mengalami beberapa simptom lain termasuklah hilang ingatan.
Pihak universiti melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut dan mereka menemukan perkara yang sangat mengejutkan. Pihak penyiasat mendapati bahawa pengkaji tersalah melihat titik perpuluhan ketika menjalankan prosedur kajian tersebut.
Kedua-dua pelajar tesebut sepatutnya mengambil sebanyak 0.3 gram kafein. Walau bagaimanapun, kesilapan yang berlaku telah menyebabkan mereka mengambil sejumlah 30 gram kafein, iaitu 100 kali ganda daripada jumlah asal.
Tindakan ini merupakan kesilapan yang sangat besar kerana terdapat kes sebelum ini yang melibatkan individu maut selepas mengambil 18 gram kafein. Keluarga mangsa akhirnya berjaya memenangi kes saman terhadap universiti berjumlah £400 000 (RM1.9 juta) disebabkan kecuaian tersebut.
Kisah tersebut merupakan kisah yang mengegarkan dunia sains sukan pada tahun 2015. Kejadian ini membuka mata banyak pihak mengenai kesan dos kafein yang melebihi tahap yang dibenarkan. Namun demikian, anda tidak perlu risau tentang dos kafein yang diminum sehari-hari. Untuk mencapai tahap 300 gram kafein, anda perlu mengambil kira-kira 3125 cawan kopi (satu cawan kopi mengandungi lebih kurang 96 miligram kafein).
Hal kafein dan senaman bukanlah perkara baharu dalam sains sukan. Hingga tahun 2003, World Anti-Doping Agency (WADA) menyenaraikan kafein sebagai bahan terlarang untuk acara sukan disebabkan sifatnya yang merangsang kebolehan atlet. Perkara ini dilihat tidak menyemai semangat kesukanan dalam kalangan atlet dan memberikan kelebihan terhadap atlet yang mengambil kopi dalam kehidupan seharian.
Pelumba basikal profesional misalnya, mereka mempunyai strategi “botol pengakhiran” yang diminum pada hujung perlumbaan. Botol ini mengandungi kafein untuk memberikan mereka sedikit rangsangan untuk melintasi garisan akhir. Walaupun kafein telah dikeluarkan daripada senarai pada tahun 2003, namun pada tahun ini, kafein dimasukkan semula dalam senarai “Dalam Pemerhatian” oleh WADA.
Bagi golongan atlet bukan profesional, penggunaan kafein sebagai perangsang ketika bersenam bukanlah sesuatu yang asing. Mengikut pernyataan oleh Persatuan Nutrisi Sukan Sedunia (ISSN) pada tahun 2021, pengambilan kafein sebelum sesi senaman meningkatkan pencapaian aerobik dan anaerobik dalam kalangan amatur dan profesional. Pencapaian yang lebih baik membolehkan individu untuk bersenam pada tahap intensiti yang lebih tinggi dan seterusnya memperbaiki pencapaian diri.
Namun begitu, tidak semuanya tentang senaman dan kafein itu indah. Satu daripada sifat kafein dalam badan manusia ialah diuretik. Diuretik merujuk bahan yang menggalakkan badan untuk menyingkirkan air dan garam melalui sistem urinari.
Seperti yang diketahui umum, dehidrasi ialah musuh utama bagi mereka yang bersenam. Kandungan air yang kurang dalam badan akan menyebabkan badan tidak berfungsi pada tahap optimum dan menyebabkan bahaya. Oleh sebab itu, mereka yang mengambil kafein (sumber kopi dan bukan kopi) perlu mengambil perhatian terhadap tanda segi tiga dehidrasi seperti air kencing berwarna kuning pekat, terasa haus dan kehilangan sebanyak lima peratus berat badan dalam jangka masa singkat.
Sekiranya anda mempunyai dua daripada tiga tanda tersebut, hal ini bermaksud bahawa anda berada dalam keadaan dehidrasi. Dehidrasi merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian, terutamanya ketika menjalani ibadah berpuasa. Anda harus memastikan bahawa anda mempunyai strategi hidrasi pada luar waktu berpuasa dan tidak hanya minum ketika sahur. Dehidrasi dan diuretik bukanlah kombinasi yang baik ketika berpuasa
Perkara ketiga yang perlu diberikan perhatian mengenai senaman dan kafein ialah tidur. Rehat ialah komponen yang penting dalam senaman. Rehat yang cukup membolehkan badan pulih selepas senaman dan membolehkan proses adaptasi berlaku.
Dalam badan manusia, terdapat satu sistem kunci dan mangga yang mengawal aktiviti tidur. Sistem ini boleh diaktifkan oleh “kunci” yang dikenali sebagai adenosina. Apabila kunci dan mangga ini bergabung, badan akan mendapat isyarat untuk tidur seperti sistem saraf menjadi perlahan dan rasa mengantuk.
Ketika seorang itu mengambil kafein, struktur kafein mempunyai bentuk seakan-akan adenosina tersebut. Kafein akan bertindak sebagai “kunci” dan mengganggu sistem ini. Namun begitu, seperti analogi kunci tadi, walaupun mempunyai bentuk yang seakan-akan sama, kunci yang salah tidak akan dapat membuka mangga yang bukan pasangannya.
Dengan itu, individu tersebut tidak akan mengantuk untuk suatu jangka masa. Walau bagaimanapun, kita bernasib baik kerana kafein akan akhirnya dibuang oleh badan. Hal ini akan membolehkan sistem dan tabiat tidur individu akan kembali normal.
Oleh sebab itu, sekiranya anda bersenam dan meminum kopi, pastikan pengambilan kopi tidak menghampiri waktu tidur bagi mengelakkan proses pemulihan dan adaptasi anda terganggu. Keadaan ini akan mengganggu kemajuan dan pencapaian proses senaman.
Selain tiga perkara tersebut, terdapat perkara lain yang perlu diberikan perhatian. Seperti peransang lain, kafein sangat bergantung kepada ketahanan individu. Terdapat individu yang boleh mengambil sebanyak empat cawan kopi tanpa sebarang tanda. Sementara itu, terdapat individu yang mengalami tanda seperti palpitasi atau berdebar-debar apabila mengambil separuh cawan minuman berkafein sahaja. Oleh sebab itu, penting untuk setiap individu mengambil kopi mengikut tahap ketahanan masing-masing.
Perangsang seperti kafein boleh menyebabkan kebergantungan terhadap badan. Apabila perkara ini berlaku, individu akan berasa lemah dan prestasi akan merosot sekiranya tidak mengambil kopi. Lebih teruk lagi, terdapat individu yang akan mengalami simptom penarikan seperti sakit kepala, lesu, cepat marah dan tidak gembira sekiranya tidak mengambil kopi.
Sebagai kesimpulannya, pengambilan kopi untuk aktiviti senaman adalah dibolehkan kerana boleh memberikan galakan untuk pencapaian senaman. Namun begitu, individu perlu mengambil perhatian mengenai hidrasi dan tidak membentuk sifat kebergantungan terhadap kafein dalam senaman dan kehidupan seharian.
Muhamad Faiz Alias, Program Diploma Fisioterapi, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh.
Dr. Noor Hafifi Noorhisham Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas,
Fakulti Sains Kesihatan (Fisioterapi), Universiti Kebangsaan Malaysia.