23 Mac 2023, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi meluaskan kesedaran dan meningkatkan penggunaan e-tunai di negeri Melaka menerusi inisiatif “Melaka e-Tunai di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri”.

MCMC sentiasa komited dalam menyokong segala usaha untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi digital yang meluas dalam kalangan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCMC, inisiatif tersebut adalah antara kempen promosi dan kesedaran yang dibangunkan dengan kerjasama Unit Kerajaan Tempatan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Melaka dan penyedia perkhidmatan kewangan (FSPs) serta platform digital bagi memacu peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.

Penggunaan perkhidmatan FSPs atau penyedia platform digital adalah antara pemangkin utama bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat yang akan memacu transformasi digital serta membolehkan Malaysia mencapai pembangunan ekonomi digital yang mampan.

Bagi memudahkan proses pembayaran tanpa tunai dan membolehkan peniaga menikmati insentif serta pelbagai tawaran istimewa yang disediakan menerusi inisiatif Melaka e-tunai ini, mereka digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan yang diusahakan dengan FSPs atau penyedia platform digital.

Menerusi kempen ini, pengunjung di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri boleh berbelanja dan menikmati pelbagai tawaran yang disediakan termasuklah pulangan tunai melalui aplikasi e-dompet TnG, Boost, Maybank dan penghantaran makanan Foodpanda.

Kini, MCMC sedang bekerjasama dengan rakan strategik seperti Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan FSPs termasuklah TNG Digital Sdn. Bhd., Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. (Boost), Maybank dan Delivery Hero Malaysia Sdn. Bhd. (Foodpanda) bagi menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan digital mereka di Melaka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.