23 Mac 2023, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 akan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuklah bazar Ramadan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis dan persampelan makanan yang turut dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh PBT sebelum dan semasa bulan Ramadan bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual adalah selamat dan terjamin kebersihannya,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar Ramadan dan memastikan pengendali makanan mendapat suntikan pelalian antitifoid serta menjalani latihan pengendalian makanan yang betul juga adalah antara langkah keselamatan yang dilakukan dengan kerjasama PBT.

Selain itu, pelbagai kempen kesedaran berkaitan dengan keselamatan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan dan premis pembekal makanan turut dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.

Pembeli perlu memilih gerai yang bersih, manakala peniaga harus mengamalkan pengendalian makanan yang baik, misalnya membasuh bahan  mentah terlebih dahulu sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi untuk basi terlalu awal daripada waktu jualan.

Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberikan jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal berikutan KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap hal yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Sebarang aduan berkaitan dengan keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau menerusi laman sesawang KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.