Oleh Nimoiz T.y
23 Mac 2023, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 24 orang pelajar program Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar berpeluang ke Kilang Ajiya, Shah Alam untuk mempelajari Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS), yakni sistem binaan kerangka keluli ringan secara praktikal, baru-baru ini.

Penyelaras kursus dan pengarah program lawatan, Puan Dayana Safra Mohd Sopian berkata IBS in Sustainable Construction ditawarkan kepada pelajar semester ketiga program Diploma Kejuruteraan Awam di politeknik tersebut untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang inovasi dalam pembinaan IBS.

“Dalam program ini, pelajar akan didedahkan kepada pemasangan komponen IBS secara praktikal dengan mematuhi garis panduan Koordinasi Modular dan Skor IBS dalam projek kejuruteraan awam yang merangkumi aspek pengurusan dan penyeliaan tapak dalam projek IBS serta praktis penjimatan masa dan sumber,” katanya.

Pelajar Politeknik Ungku Omar dalam sesi praktikal pemasangan sistem komponen IBS jenis kerangka besi di Kilang Ajiya, Shah Alam.

Antara kelebihan teknologi dalam pembinaan yang semakin mendapat tempat di sektor pembinaan ini termasuklah proses pemasangan yang cepat dan mudah, reka bentuk yang fleksibel, tidak memerlukan kerja kimpalan, dapat mengurangkan pembaziran di tapak pembinaan dan meminimumkan penggunaan jentera berat.

Menurut Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub selaku penasihat program, sesi praktikal di Kilang Ajiya membolehkan pelajar memahami proses pemasangan sistem komponen IBS bagi jenis kerangka besi

Lawatan ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari pengurusan masa dan sumber dengan kawalan kualiti dalam pemasangan sistem kerangka besi yang berkonsepkan IBS.

Ajiya Metal Group merupakan syarikat pengeluar dan pembekal bahan binaan berasaskan besi dan keluli, terutamanya yang melibatkan IBS seperti Sistem Dinding Pintar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.