Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan sedang melakukan Inventori Sumber Hutan Nasional Keenam bagi Semenanjung Malaysia yang dilaksanakan setiap 10 tahun, manakala pelaksanaan inventori sumber hutan ini adalah pertama kalinya dilaksanakan bagi wilayah Sabah dan Sarawak sebagai usaha berterusan dalam memastikan khazanah hutan negara dapat diuruskan secara mampan.
Kesedaran masyarakat tentang kepentingan hutan yang menjadi aset semula jadi negara, pemeliharaan dan pemuliharaannya perlu dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar.
Hutan berperanan dalam menyediakan habitat, makanan, perlindungan, sumber bekalan air dan udara yang bersih untuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta membantu mengekalkan khazanah biodiversiti dan mengurangkan kesan perubahan iklim melalui penyimpanan karbon.
“Tema Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini ialah “Hutan dan Kesihatan” yang mendorong masyarakat untuk menyemai dan meningkatkan kesedaran bagi memelihara dan memulihara kawasan hutan berikutan kawasan ini banyak menerima ancaman seperti krisis melalui kebakaran hutan, serangan makhluk perosak dan pencerobohan yang berleluasa,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.
Pengiktirafan kepentingan hutan untuk keselamatan dan keterjaminan makanan juga telah meningkat dengan ketara beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, hutan dan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar adalah saling berhubung kait antara satu sama lain menyebabkan pendekatan secara holistik perlu diambil dalam pelibatan manusia dengan alam semula jadi untuk mencapai kesihatan yang optimum antara manusia, haiwan, hutan dengan alam sekitar.
“Bagi mengelakkan kemunculan penyakit berjangkit baharu yang biasanya disebabkan oleh perubahan guna tanah secara tidak mampan dan akibat perubahan iklim, usaha memulihara dan menggunakan hutan secara mampan ialah satu daripada cara yang terbaik untuk melindungi alam semula jadi dan diri sendiri sekali gus dapat menjamin kesejahteraan masyarakat,” kata beliau lagi.
Usaha dan program utama yang telah dianjurkan, misalnya Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot, Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara, Central Forest Spine dan Heart of Borneo akan terus diberikan tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi memelihara dan memulihara khazanah hutan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia seharusnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan bumi dengan kehijauan kawasan berhutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna demi kesejahteraan hidup generasi pada masa ini dan akan datang.