Oleh Firdaus Mul
21 Mac 2023, 18:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pematuhan terhadap pengambilan dos ubat tuberkulosis dan tidak menghentikan rawatan penyakit ini tanpa saranan daripada doktor adalah penting bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan atau merencatkan rawatan penyakit berkenaan.

Penyakit tuberkulosis atau penyakit tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan dikategorikan sebagai penyakit endemik yang sentiasa wujud dalam kalangan masyarakat.

Penyakit yang disebarkan melalui batuk dan bersin daripada seseorang yang menghidap penyakit ini boleh menjangkiti pelbagai organ, terutamanya paru-paru.

“Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara bebas tibi menjelang tahun 2035, saringan tibi telah dipertingkatkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi seperti pesakit kencing manis, penghuni institusi tahanan serta kontak rapat dengan indeks kes tibi,” kata Pegawai Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Teng Sook Yee menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.

Antara tanda penyakit tibi ialah batuk berdarah, batuk yang berpanjangan melebihi tempoh dua minggu, kurang selera makan, berat badan berkurangan, demam, sesak nafas dan berpeluh, terutamanya pada waktu malam.

Pegawai Farmasi dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Teng Sook Yee ketika diwawancara menerusi rancangan Jendela Fikir anjuran Bernama Radio, semalam.

Beliau juga menjelaskan bahawa pemeriksaan penyakit tersebut boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti ujian sampel kahak, ujian tuberkulin atau X-ray pada bahagian dada bagi membolehkan doktor mengesan perubahan yang berlaku pada paru-paru, sekali gus mendiagnosis penyakit tersebut dengan gejala lain.

Rawatan penyakit tibi terdiri daripada dua fasa, iaitu fasa intensif untuk tempoh dua bulan dan fasa sambungan bagi tempoh empat bulan.

Rawatan bagi fasa intensif melibatkan penggunaan empat jenis ubat, iaitu Isoniazid, Rifampicin, Pyrazinamide dan Ethambutol, manakala fasa sambungan menggunakan dua jenis ubat antitibi, iaitu Rifampicin dan Isoniazid.

Jelas beliau lagi, jika pesakit mematuhi cara pengambilan ubat yang betul dalam tempoh rawatan yang ditetapkan, iaitu selama enam bulan, biasanya pesakit akan sembuh daripada jangkitan tibi.

Kegagalan dalam rawatan tibi akan menyebabkan kerintangan bakteria tibi tersebut kepada pelbagai ubat rawatan tibi yang diberikan sekali gus mengakibatkan multidrug-resistant tuberculosis ataupun extensively drug-resistant tuberculosis yang menyukarkan proses penyembuhan pesakit.

Susulan itu, sekiranya kesan sampingan seperti muntah, loya, ruam atau kegatalan menyukarkan pesakit untuk meneruskan rawatan, pesakit boleh berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu bagi menyusun semula waktu pengambilan ubat.

Berilah sokongan kepada pesakit tibi kerana mereka memerlukan sokongan yang padu untuk menghabiskan ubat secara konsisten dan jika mereka berjaya menghabiskan rawatan tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, mereka boleh sembuh dan kembali sihat seperti biasa sekali gus masyarakat dapat menghentikan stigma negatif terhadap pesakit tibi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.