Oleh Nimoiz T.y
20 Mac 2023, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lenggong – Sebanyak lebih 40 orang mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah meneroka Gua Kajang dan Gua Asar di Lembah Lenggong, Perak sebagai satu daripada usaha untuk memupuk kesedaran akan kejadian alam, baru-baru ini.

Lenggong yang telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 30 Jun 2012 sememangnya kaya dengan gua yang unik, menakjubkan dan satu daripada keajaiban ciptaan Ilahi yang perlu dipelihara serta dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

Antara gua yang terkenal di Lenggong ialah Gua Teluk Kelawar, Gua Kajang, Gua Harimau, Gua Gunung Runtuh, Gua Ngaum, Gua Asar, Gua Puteri dan Gua Badak.

Menurut pegawai pengiring merangkap pensyarah yang mengajar, Puan Tuan Siti Mastazameatun, program seumpama ini adalah penting untuk membuka mata mahasiswa akan kesedaran dalam memelihara dan memulihara peradaban, warisan dan alam semula jadi.

“Eksplorasi di Gua Kajang telah membuka mata dan minda para pelajar dari KIAS yang sedang mengikuti Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban untuk mengenali peradaban terawal bangsa sendiri,” ujar beliau.

Peninggalan sejarah era paleolitik dan neolitik yang terpelihara ini pada hakikatnya mendidik jiwa generasi pelapis negara untuk lebih mencintai sejarah demi perkembangan peradaban bangsa pada masa hadapan.

Sesi taklimat diberikan kepada para pelajar sebelum eksplorasi di Gua Kajang dan Gua Asar dijalankan.

Sejarah juga pernah tercipta apabila sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi, Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid telah menemukan rangka manusia yang diberikan nama sebagai Perak Man dijumpai hasil daripada ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1991 sekali gus membuktikan kewujudan tamadun awal manusia di Asia Tenggara.

Kawasan Lembah Lenggong ialah urutan garis budaya antara yang terpanjang dari segi masa, iaitu hampir dua juta tahun dan bahan artifak peninggalan sejarah yang dijumpai di sini, terutamanya di gua dan kawasan terbuka berada berdekatan antara satu sama lain serta menjadi bukti kukuh ketamaduan terdahulu yang berlaku sejak sekian lama.

Hasil kajian yang dijalankan membuktikan bahawa Gua Kajang telah dihuni sejak lebih 11 ribu tahun dahulu dan pernah menjadi tempat penghunian masyarakat pada era paleolitik dan neolitik.

Gua Kajang berada pada latitud 50 07.57’ utara dan longitud 1000 58.87’ timur berada pada ketinggian 76 meter dari aras laut, manakala lokasinya pula berada pada jarak 1.5 kilometer dari jalan utama yang membolehkan pengunjung berpeluang untuk melihat keunikan seni bina rumah Melayu yang masih kekal hingga kini.

Peserta yang menyertai eksplorasi di Gua Kajang dan Gua Asar.

Sementara itu, Encik Azizul Rahman yang turut mengiringi eksplorasi ini menyatakan bahawa Gua Kajang adalah antara gua pertama diekskavasi di Malaysia, iaitu sekitar tahun 1917 dan artifak berharga yang ditemukan ialah rangka manusia di bahagian pintu gua selain alat batu dan pecahan tembikar.

Dalam eksplorasi ini juga, pelajar berpeluang untuk meneroka keindahan Gua Asar yang berada tidak jauh dari Gua Kajang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.