20 Mac 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merencanakan empat perancangan strategik sektor angkasa ke arah pertumbuhan industri sejajar dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030.

Perancangan yang dibuat dikoordinasikan menerusi Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) dengan pelibatan kementerian dan agensi berkaitan dasar tersebut.

“Objektif utama JANGKA ialah memastikan pembangunan sektor angkasa dapat dilaksanakan secara terancang dan lebih berkesan sekali gus memberikan pulangan besar kepada negara dalam aspek penjanaan ilmu baharu, penerokaan saintifik, penjanaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat dan keselamatan serta kedaulatan negara,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.

Empat perancangan strategik sektor angkasa yang direncanakan ialah Pelan Tindakan  Dasar Angkasa Negara 2030: Malaysia Space Exploration 2030 (MSE 2030), Pelan Strategik Industri Angkasa 2030, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan pelibatan MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) sebagai peneraju Space Tech Nexus.

Menurut beliau, MSE 2030 menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif dan 79 aktiviti utama yang dirancang hingga tahun 2030 dan bakal dilancarkan semasa LIMA’23. Beliau turut menyatakan bahawa MSE 2030 dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu negara dan dijangkakan mampu menyumbang hingga satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030.

Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 pula merupakan hasil kajian industri angkasa tempatan yang telah selesai dilaksanakan pada Ogos 2022, yakni sebanyak 63 syarikat tempatan telah dikenal pasti terlibat dalam pembangunan industri angkasa tempatan dan dijangkakan akan dilancarkan semasa pameran LIMA’23.

Jelas beliau lagi, Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 telah dibangunkan dengan 12 strategi dan 24 inisiatif termasuklah cadangan pelancaran satelit penderiaan jauh (remote sensing) negara beresolusi tinggi pada penghujung tahun 2025 dan kerangka inisiatif mewujudkan perkhidmatan tapak pelancar satelit tempatan.

Pada masa yang sama, Akta 834 yang telah diwartakan pada 25 Januari 2022 pula bertujuan mengawal selia aktiviti berkaitan dengan angkasa bagi tujuan keselamatan dan pendaftaran objek angkasa.

Akta ini akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selamat serta mematuhi peraturan dan piawaian yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa serta dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan industri untuk terlibat dalam aktiviti angkasa negara melalui pewujudan kawal selia yang cekap selaras dengan garis panduan dan standard antarabangsa.

Katanya, Space Tech Nexus merupakan elemen baharu dalam penganjuran pameran dwitahunan tersebut yang akan berlangsung dari 23 Mei 2023 hingga 27 Mei 2023 merangkumi Langkawi International Space Forum (LISF) 2023, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), perbincangan dua hala (bilateral talk), pameran komersial, pengemaskinian teknologi (technology updates), side events dan lawatan teknikal.

MOSTI melalui MYSA yang diberikan mandat sebagai peneraju Space Tech Nexus oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia selaku penganjur LIMA’23 dijangkakan dapat mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik sektor angkasa di negara ini dengan pelbagai pihak, khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, kepakaran, peluang kerjasama teknikal dan komersial serta memudah cara pelaburan industri angkasa bagi merancakkan pertumbuhan industri pemula tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.