19 Mac 2023, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited  membuat pemantauan secara berterusan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih dan kenyataan yang membabitkan unsur 3R, yakni elemen perkauman, agama dan institusi diraja.

Usaha ini dilakukan susulan beberapa kejadian yang melibatkan unsur 3R yang berlaku sejak kebelakangan ini dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian negara.

Kenyataan berbaur kebencian merujuk kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendahkan nilai seseorang atas faktor perkauman, etnik, agama ataupun kewarganegaraan adalah antara elemen yang perlu dibendung segera.

“Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan ataupun pandangan berbaur kebencian yang membabitkan elemen 3R berkenaan dalam media sosial atau aplikasi pemesejan,” kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu kenyataan.

Tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap individu yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada bagi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50 000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama, pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menguruskan komen daripada warga siber dalam platform mereka. Selain itu, penyedia platform media sosial juga diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan yang berbaur provokatif dan berbahaya.

Orang ramai yang menjumpai kandungan berbaur perkauman, hasutan, provokasi, menghina agama dan Institusi Diraja perlu melaporkan kejadian tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC, menerusi talian 1800-188-030 atau WhatsApp di 016-2206 262 ataupun e-mel kepada [email protected]. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu di laman sesawang SEBENARNYA.MY.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.