17 Mac 2023, 18:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Orang awam tidak perlu bimbang tentang pengambilan daging lembu atau produk lembu yang diimport dari luar negara susulan penularan penyakit Bovine spongiform encephalopathy (BSE) yang menyerang ternakan di Brazil pada awal tahun ini adalah dari jenis Atypical BSE jenis H yang berlaku secara semula jadi terhadap ternakan tua dan tidak menyebabkan penyakit kepada manusia.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), penyakit BSE ialah penyakit kronik pada lembu yang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk menunjukkan tanda penyakit berkenaan.

BSE tergolong dalam kumpulan penyakit saraf yang membawa maut, dicirikan oleh pengumpulan protein yang tidak normal yang dipanggil sebagai prion di dalam tisu saraf dan otak serta pertama kalinya telah dikesan pada tahun 1986 di United Kingdom.

Sumber rebakan BSE pada lembu adalah berpunca daripada makanan yang telah dicemari oleh prion. Apabila makanan yang dicemari ini dimakan oleh haiwan selain lembu, maka munculnya kumpulan penyakit Transmissible spongiform encephalotpathies (TSE) seperti Varian creutzfeldt-jakob (vCJD) dalam kalangan manusia, Scrapie yang menyerang biri-biri dan kambing serta Chronic wasting disease (CWD) yang menyerang rusa.

Sementara itu, terdapat tiga jenis BSE, iaitu Classical BSE yang berlaku melalui penggunaan makanan atau produk makanan yang dicemari oleh prion; Atypical BSE jenis H yang berlaku secara semula jadi pada ternakan tua dan Atypical BSE jenis L yang turut berlaku secara semula jadi pada ternakan tua.

Hanya Classical BSE yang boleh menyebabkan penyakit vCJD kepada manusia yang memakan daging atau produk makanan yang tercemar dengan prion, manakala Atypical BSE jenis H dan Atypical BSE jenis L tidak menyebabkan sebarang penyakit kepada manusia.

Susulan itu, bagi memastikan keperluan tempatan adalah bebas daripada sebarang penyakit dan selamat dimakan, DVS sentiasa memantau rapi bekalan daging lembu atau produk lembu yang diimport dari luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.