16 Mac 2023, 18:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB), syarikat pemula (start-up) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mencatatkan satu lagi kemajuan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd. (KAFSB) di Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), UiTM Shah Alam hari ini bagi memperbanyak penghasilan produk yang berasaskan buah mempelam harum manis di Perlis hingga peringkat global.

Pemeteraian MoU ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan AISB, YBrs. Dr. Athifah Najwani Shahidan bersama-sama Presiden KAFSB, YBhg. Dato’ Mohd Farid Mohd Yusuff dan disaksikan oleh wakil dari Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED), YBrs. Ts. Dr. Rohana Zur serta warga kerja BITCOM.

Sesi menandatangani MoU antara Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB) dengan Kayangan Agro Farm Sdn. Bhd. (KAFSB) di Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), hari ini.

Pada masa yang sama, satu Surat Tunjuk Minat (LOI) dari AISB telah diserahkan kepada pihak MASMED atas tujuan kolaborasi dan pelaksanaan kerjasama strategik dalam projek inkubator keusahawanan pada peringkat universiti antarabangsa.

“Semoga dengan adanya MoU dan LOI ini dapat memberikan lebih banyak manfaat, terutamanya kepada para petani tanaman harum manis di Perlis serta syarikat pengeluar produk hiliran lain yang berkaitan. Inisiatif bagi mewujudkan inkubator keusahawanan pada peringkat universiti antarabangsa juga diharapkan dapat memberikan faedah kepada bidang keusahawanan yang diceburi oleh para pelajar dan ahli akademik,” ujar YBrs. Dr. Athifah Najwani Shahidan ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Pengarah Urusan AISB, YBrs. Dr. Athifah Najwani Shahidan.

Susulan itu, tetamu yang hadir dalam majlis tersebut berkesempatan untuk melihat produk terbaharu keluaran AISB yang berasaskan bahan sampingan hasil daripada buah dan pokok harum manis seperti kulit buah, biji dan daunnya.

Pasukan Makmal Pengkaji AISB juga sedang membuat penelitian rapi bagi menyasarkan tumbuhan harum manis ini boleh menjadi pokok serba guna hingga tiada lagi bahan buangan bagi memberikan manfaat kepada manusia sejagat.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif KAFSB, Encik Mohd Nasir Jamil dan Pengarah Urusan ZEM Holdings Sdn. Bhd. (ZHSB), Encik Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.