14 Mac 2023, 19:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pekan – Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM) bakal menjadi pusat pendidikan pelancongan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat selain menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran.

ALAF-UKM merupakan hasil penstrukturan semula tadbir urus empat buah makmal alami, iaitu Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) berserta dua buah makmal fizikal, yakni Makmal Instrumentasi Berpusat UKM (i-CRIM) dan Makmal Bioserasi yang bertempat di UKM, Bangi. Kesemua makmal sebelum ini adalah di bawah tanggungjawab Pusat Tanggungjawab yang berbeza di UKM.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyatakan bahawa pewujudan ALAM-UKM adalah sejajar dengan hasrat UKM yang memfokuskan penyelidikan yang bersifat komprehensif sekali gus memasyarakatkan kemudahan yang sedia ada untuk manfaat masyarakat dan negara.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman ketika berucap dalam majlis perasmian ALAF-UKM.

Empat lokasi utama ALAF-UKM yang berada di timur, selatan, utara dan tengah Semenanjung Malaysia dilihat mempunyai peluang yang besar untuk menjadi hab kepada pembangunan masyarakat setempat bukan sahaja dalam bidang penyelidikan flora dan fauna, malah pendidikan pelancongan, penghasilan pelbagai modul ilmiah dan penarafan makmal alami ke arah status antarabangsa seperti di bawah United Nations Educational Scientific and Cultural Organi-sation (UNESCO).

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyumpit sebagai simbolik perasmian ALAF-UKM.

Selain menyediakan fasiliti sokongan penyelidikan, makmal alami ALAF-UKM turut menawarkan beberapa pakej pendidikan pelancongan seperti Forest Experience, Indigenous Explore, Tasik Chini Boat Tour, Night Walking, Bird Watching, Program Pengukuhan Pasukan dan Eksplorasi Sains. Kursus pemandu pelancong juga ditawarkan di PPL sebagai satu usaha menaikkan pendapatan masyarakat setempat di Langkawi.

Kumpulan tarian dari Sekolah Kebangsaan Tasik Chini yang terdiri daripada kanak-kanak orang asal suku Jakun mempersembahkan tarian kelundang.

Pelancaran ALAF-UKM ini dapat membantu mewujudkan ekosistem berpusat penyelidikan berteraskan perkhidmatan yang bersifat glokal. Kejayaan dan sumbangan besar setiap entiti di bawah ALAF-UKM terhadap pembangunan masyarakat dan negara diharapkan dapat diuar-uarkan dengan lebih meluas kepada semua pemegang taruh seperti kerajaan, komuniti, industri, badan bukan kerajaan dan agensi antarabangsa.

“Penubuhan ALAF-UKM dapat dijadikan sebagai contoh kepada institusi pendidikan tinggi yang lain dalam memberikan perkhidmatan berteraskan penyelidikan yang bermanfaat kepada masyarakat, industri dan negara,” ujar beliau dalam Majlis Perasmian Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman ketika sesi sidang media.

Menurut beliau lagi, perkhidmatan makmal fizikal seperti Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi telah berjaya menyokong dasar kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat memberikan impak kepada masyarakat serta mempunyai daya pasaran yang tinggi untuk dikomersialkan hingga pada peringkat global.

Pemandangan di Pusat penyelidikan Tasik Chini, UKM.

Permintaan yang tinggi dari dalam negara dan antarabangsa bagi perkhidmatan Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi ini juga ialah satu peluang dan berpotensi tinggi dalam meningkatkan penjanaan kewangan dan keserlahan UKM.

“Selain penjanaan dalam wang ringgit menerusi Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi, sumbangan besar pusat penyelidikan makmal alami dalam membantu masyarakat dan kerajaan setempat termasuklah masyarakat asal juga diperkasakan selaras dengan aspirasi UKM sebagai sebuah universiti watan,” katanya lagi.

Denai hutan yang sesuai untuk eksplorasi bagi pengunjung Pusat penyelidikan Tasik Chini, UKM.

Untuk makluman, ALAF-UKM ialah sebuah pusat perkhidmatan di UKM yang ditubuhkan bagi tujuan menyelaras dan memperkasakan aktiviti penyelidikan serta perkhidmatan secara strategik dan terancang. Penubuhan ALAF-UKM adalah antara langkah strategik bagi mencapai dua sasaran utama UKM, iaitu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan penjanaan pendapatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.