12 Mac 2023, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia memerlukan lebih banyak jurutera untuk membantu negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah membina masa hadapan yang lebih mampan untuk rakyat.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya semalam, statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia melaporkan sebanyak 187 900 orang jurutera telah berdaftar secara rasmi di negara ini pada tahun lepas.

Sementara itu, nisbah jurutera kepada penduduk Malaysia pada masa ini ialah 1:170 berbanding dengan 1:100 di negara maju seperti Jerman dan Perancis.

Daripada angka tersebut, sebanyak 172 900 orang jurutera terdiri daripada jurutera siswazah, 5900 orang jurutera profesional dan 9100 orang jurutera profesional dengan sijil amalan. Angka ini telah menunjukkan masih terdapat permintaan yang tinggi untuk profesion jurutera di Malaysia dalam usaha ke arah mencapai status negara pengeluar teknologi.

Statistik berkenaan telah dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang ketika merasmikan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 peringkat Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang bertemakan “Engineering Possibilities”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Puan Dzuleira Abu Bakar menyatakan bahawa MRANTI menyokong hasrat untuk mempromosikan bidang kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya dan menghidupkan semula semangat dalam kalangan generasi muda untuk merebut peluang yang tersedia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Aktiviti bengkel STEM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pengekodan dan robotik ditawarkan termasuklah Program Sijil Reka Bentuk Simulasi Industri dan kursus Inovasi Percetakan Tiga Dimensi (3D).

Selain itu, MRANTI juga menyediakan pusat inovasi komuniti yang dikenali sebagai MakersLab yang bertemakan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Pusat ini menjadi hab kepada komuniti inovator untuk berkumpul dan bertukar-tukar idea bagi menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan.

Susulan itu, Pertandingan Cabaran Reka Bentuk yang dilancarkan bersempena dengan Hari Kejuruteraan Sedunia 2023 merupakan seruan kepada belia untuk membabitkan diri dalam dialog berkaitan dengan gaya hidup di bandar yang lebih inklusif dari segi sosial, kemampanan diri dan penjanaan semula alam sekitar.

Para belia, siswazah dan lepasan ijazah dari bidang kejuruteraan dan pelbagai disiplin lain diundang untuk bersaing dan melontarkan idea bandar pintar paling inovatif dalam bentuk prototaip yang boleh diaplikasikan.

Penyertaan terbaik bagi pertandingan tersebut bakal menerima ganjaran pelaburan yang bernilai hingga RM30 000 untuk memacu cita-cita mereka dalam mentakrifkan semula kehidupan di bandar Malaysia.

Menerusi kajian yang telah dijalankan, walaupun minat dan penghayatan pelajar di Malaysia terhadap sains adalah tinggi selama ini, namun mereka mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap sains.

Oleh yang demikian, MOSTI memberikan keutamaan yang tinggi kepada program mempertajam kemahiran dan meningkatkan keyakinan pelajar dan belia dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, pengkomputeran kuantum, pengekodan dan lain-lain sebagai pemangkin kepada keperluan tenaga mahir dalam bidang IR 4.0.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.