9 Mac 2023, 18:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Acara kemuncak Hari Sukan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan semalam dengan penganjuran Majlis Penyampaian Hadiah Hari Sukan FSK yang diadakan di Dewan Kuliah 1, FSK.

Menurut Dekan FSK, Yang Berbahagia Profesor Dr. Suzana Shahar yang hadir untuk menyampaikan hadiah dalam majlis berkenaan, aktiviti fizikal ini akan menjadikan warga FSK terus kekal aktif.

“Sebagai fakulti perintis dalam bidang sains kesihatan di Malaysia, usaha ini akan menjadi contoh dan teladan kepada semua pihak bagi mendokong aspirasi sihat sepanjang hayat sebagai teras utama kepada kemakmuran institusi.”

Hari Sukan FSK yang pertama bagi tahun 2023 ini meyaksikan pelibatan enam pusat FSK, iaitu Pejabat Dekan; Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE); Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan (CODTIS); Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaReHab); Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care); dan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH).

Antara program pengisian bagi Hari Sukan FSK ini termasuklah Cabaran Langkah FSK yang telah diadakan pada 1 Februari hingga 28 Februari 2023. Sebanyak 179 warga FSK telah menyertai program ini dengan tema “Kekal Aktif, Cergas dan Sihat Hingga Akhir Hayat”.

Dalam pertandingan ini, Encik Raazliza Rashid dari H-Care telah memenangi kategori individu lelaki dengan jumlah langkah sebanyak 764 725 langkah. Sementara itu, Dr. Nurul Farhana Jufri dari CORE telah mengungguli kategori wanita dengan pencapaian sebanyak 1 025 761 langkah.

Selain itu, acara sukaneka untuk warga FSK turut diadakan di padang Kolej Tun Syed Nasir, UKM. Terdapat lima acara telah dipertandingkan, iaitu Seiring Sejalan, Boling Kelapa, Bawa Bola Guna Gelung, Train to Busan dan Bagai Menatang Minyak yang Penuh. Pungutan mata daripada Cabaran Langkah FSK dan acara sukaneka telah menobatkan CORE sebagai johan keseluruhan bagi Hari Sukan FSK kali ini.

Kakitangan FSK dalam program sukaneka bagi acara Bagai Menatang Minyak yang Penuh. 

 

Kesungguhan kakitangan FSK dalam acara Boling Kelapa.

Sebagai rekod, Hari Sukan FSK merupakan aktiviti berkala yang dianjurkan sebanyak empat kali setahun untuk menggalakkan dan menjadikan warga FSK sebagai kakitangan yang sentiasa aktif melakukan aktiviti fizikal, di samping menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.