8 Mac 2023, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kopi berjenama Koppi Duo Qerat (KDQ) kini semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada orang ramai, terutamanya penduduk di Lembah Klang. Pemiliknya, Encik Izzhar yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) akibat lumpuh kerana kecederaan saraf tunjang bergiat aktif dalam memperkenalkan dan mempromosikan minuman KDQ ini.

Menurut Encik Izzhar, perniagaan KDQ dengan motonya “Dua Kali Lebih Sedap” sebenarnya telah diadun dengan menggunakan susu dan kopi yang berkualiti tinggi bagi menimbulkan rasa keenakan yang luar biasa.

Encik Izzhar ketika berada di Karnival Hari Terbuka Putrajaya.

Perniagaan ini dapat membantu saya menjadi lebih aktif. Hal ini adalah penting bagi mengelakkan diri saya daripada kemurungan atau terkurung di dalam rumah sahaja selain dapat menambah pendapatan dan ekonomi keluarga.

Melalui Karnival Hari Terbuka Putrajaya di bawah Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROCJAYA), perniagaan KDQ yang mempunyai pelbagai perasa seperti perasa asli, vanilla latte, hazelnut latte, caramel machhiato, mocha dan coklat mendapat sambutan yang luar biasa daripada para pengunjung.

Salah seorang pengunjung yang membeli KDQ ini menyatakan bahawa minuman ini sememangnya lebih sedap daripada kopi yang popular dalam pasaran dan pembeli tidak akan berasa rugi jika membelinya.

Encik Izzhar (kanan) dan peminat kopinya.

Untuk makluman, sejarah perniagaan KDQ ini bermula apabila Encik Izzhar bertekad untuk bangkit semula melalui perniagaan walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Beliau ingin membuktikan bahawa golongan OKU juga boleh menjadi luar biasa.

Melalui kopi ini, saya berharap agar lebih banyak rakan OKU seperti saya terinspirasi dan akhirnya bangkit untuk menjadi lebih aktif dan sihat.

Encik Izzhar (kanan) bersama-sama rakannya yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perniagaan yang diusahakan.

Encik Izzhar dan KDQ semakin bergiat aktif dalam menyertai pelbagai karnival dan program jualan, terutamanya di sekitar Lembah Klang. Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan KDQ, sila layari Facebook rasmi KDQ.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.