7 Mac 2023, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cameron Highlands – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) serta Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) di Hotel Zenith Cameron Highlands, Pahang.

MoU tersebut ialah kesinambungan kepada kerjasama strategik antara MYSA dengan PDTCH yang telah dimulakan sejak tahun 2011. Kerjasama strategik tersebut tertumpu kepada penggunaan teknologi angkasa, khususnya imej satelit penderiaan jauh (remote sensing) bagi tujuan perancangan, pemantauan aktiviti dan mitigasi pembangunan tanah di Cameron Highlands.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MYSA, keupayaan satelit merakam aktiviti permukaan bumi secara kerap, berulang, liputan yang luas dan menghasilkan imej digital beresolusi tinggi atau mampu memfokuskan ketepatan hingga 50 sentimeter membolehkan pengesanan sebarang perubahan tanah di Cameron Highlands dapat dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan.

Kesemua maklumat yang diperoleh melalui satelit ini kemudiannya akan dirangkumkan ke dalam satu sistem khusus yang beroperasi secara dalam talian. Sistem ini dikenali sebagai Sistem iPantau Cameron Highlands.

Menerusi kenyataan media tersebut juga, sistem yang dibangunkan dan dioperasikan melalui kerjasama strategik ini dimanfaatkan dalam operasi bersepadu Ops Gading dan Ops Lestari pada tahun 2014 hingga tahun 2016 bagi menangani dan membanteras aktiviti pembukaan tanah secara haram di Cameron Highlands.

Sistem ini juga akan diperkasakan lagi dengan penambahan modul pemantauan baharu dan penggunaannya diperluaskan bagi kegunaan pihak berkuasa berkaitan di Cameron Highlands melalui MoU tersebut.

Pada masa yang sama, penggunaan teknologi penderiaan jauh angkasa dan Sistem iPantau Cameron Highlands sedia ada akan terus beroperasi bagi meningkatkan aspek pengurusan tanah seperti pengukuran semula sempadan Lesen Pendudukan Sementara (LPS), pengemaskinian data LPS sedia ada dan aspek pemantauan lain yang dilaksanakan oleh pihak PDTCH dan PKCH secara berterusan dari semasa ke semasa.

Majlis menandatangi MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MYSA, YBrs. Tuan Haji Azlikamil Napiah dan Pegawai Daerah PDTCH merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, YBrs. Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Turut berkenan berangkat dan menyaksikan majlis berkenaan ialah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim serta wakil agensi lain yang berkaitan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.