3 Mac 2023, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah terpilih sebagai antara lima Project Champion dengan undian tertinggi di bawah Kategori C2, iaitu Information and Communication Infrastructure: An Essential Foundation for An Inclusive Information Society oleh World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2023 yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

WSIS Prizes ialah pertandingan antarabangsa yang unik dan dibangunkan bagi menilai serta mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pemangkin kepada pembangunan. WSIS Prizes juga ialah platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kejayaan dan model yang boleh dicontohi bagi menghargai usaha pihak berkepentingan atas komitmen dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemilihan JENDELA sebagai Project Champion ini adalah berikutan penantian bagi keputusan akhir pemenang yang akan diumumkan dalam Majlis Anugerah WSIS 2023 bersempena dengan WSIS Forum 2023 di ITU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Geneva, Switzerland pada 14 Mac ini.

MCMC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang yang mengundi dan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada MCMC yang telah berusaha merealisasikan inisiatif JENDELA yang beraspirasi bagi menyediakan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Untuk makluman, JENDELA merangkumi dua fasa yang dibangunkan untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti secara berterusan untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.

JENDELA Fasa 1 (2020-2022) menyasarkan untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada 7.5 juta premis, meningkatkan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk dan meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps.

Sementara itu, JENDELA Fasa 2 (2023-2025) memberikan tumpuan dalam penyediaan liputan Internet bagi baki tiga peratus kawasan berpenduduk, memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis.

 JENDELA beraspirasi untuk memperluaskan akses gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis, 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan Internet dan mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100 Mbps menjelang tahun 2025.

Oleh yang demikian, pengiktifaran yang diterima ini adalah bukti komitmen yang diberikan oleh kerajaan dan MCMC dalam memperkasakan kesalinghubungan dan memperkukuh ekosistem digital agar rakyat dan negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.