1 Mac 2023, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelana Jaya – Pusat Rehabilitasi PERKESO Ara Damansara (PRPAD) telah menjalankan program Rehabilitasi Aktif di pusat beli-belah Paradigm Mall hari ini.

Program ini bertujuan mendedahkan Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang sedang menjalani rehabilitasi di PRPAD kepada kemudahan awam sebagai satu daripada bentuk pendedahan awal dan persediaan sebelum kembali ke alam pekerjaan setelah ditimpa kemalangan atau menghidap penyakit dengan keupayaan yang maksimum.

OB berkenaan telah dibimbing oleh juruterapi bertauliah seperti jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, jururawat, doktor dan pengurus hilang upaya berkaitan dengan tatacara dan kaedah menggunakan kemudahan awam seperti tandas awam, lif dan mesin ATM sebelum mereka kembali ke rumah atau tempat kerja.

Selain itu, OB juga didedahkan dengan kaedah beradaptasi ketika melakukan aktiviti di tempat awam seperti membeli-belah, bersukan, makan di restoran, menggunakan tempat letak kereta dan membeli tiket.

Aktiviti menonton wayang di Paradigm Mall.

 

Bimbingan masuk ke kenderaan.

 

Bimbingan juruterapi bersama-sama OB.

Pengurus Cawangan PRPAD merangkap jurupulih cara kerja, Puan Aishah Md. Zin berkata, program ini penting sebagai satu daripada langkah bagi mengembalikan keyakinan OB untuk kembali berhadapan dengan masyarakat dan situasi di tempat kerja meskipun dengan keupayaan yang berbeza.

Program sebegini juga amat unik kerana berbentuk latihan dan bersifat realiti serta keluar daripada lingkungan fasiliti hospital atau pusat rawatan.

Susulan itu, seorang daripada peserta program berpandangan bahawa program seumpama ini dapat memberikan manfaat dari segi fizikal, mental, keyakinan, semangat dan ilmu pengetahuan sebelum kembali bekerja. Para peserta juga berharap agar program ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

PRPAD ialah satu daripada satelit Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak yang mula beroperasi sejak tahun 2020 bagi memberikan manfaat rehabilitasi kepada pencarum PERKESO dan bukan pencarum di sekitar Lembah Klang.

Antara rawatan rehabilitasi intensif yang ditawarkan oleh PRPAD termasuklah rehabilitasi perubatan, fisioterapi, terapi neuro-robotik, terapi cara kerja dan pengurusan hilang upaya. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang PRPAD.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.