28 Februari 2023, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) direalisasikan menerusi Sesi Bimbingan Penulisan Popular yang diadakan di FSK, UKM, hari ini. Program yang dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM ini julung-julung kalinya diadakan bagi menyahut hasrat DBP untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang termasuklah sains dan teknologi.

Program yang berlangsung hampir tiga jam ini bertujuan membantu para penyelidik dan staf FSK, UKM dalam menghasilkan penulisan popular yang berpotensi untuk diterbitkan sekali gus meningkatkan jumlah penerbitan penulisan tersebut.

Dalam ucapan alu-aluan Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar, beliau menyatakan bahawa peluang penerbitan bersama-sama DBP ialah peluang yang sangat bermakna. Beliau juga banyak mempelajari pelbagai perkara daripada DBP dan ilmu yang dipelajari itulah yang membentuk kaedah penulisan beliau hingga kini.

Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar (tengah) menyampaikan ucapan alu-aluan.

FSK, UKM juga sedang merangka Pelan Strategik Fakulti Sains Kesihatan 2023-2028. Antara perkara yang ingin diperlihatkan ialah kebolehgunaan dan impak hasil kajian yang dilakukan oleh organisasi ini kepada masyarakat. Program penulisan popular bersama-sama DBP ialah satu daripada strategi untuk mencapai matlamat ini.

Menurut beliau lagi, penulisan popular sememangnya untuk kegunaan masyarakat, namun hal ini turut memberikan manfaat kepada fakulti dengan menjadi lonjakan dan relevannya bidang sains kesihatan, terutamanya kepada pelajar dalam bidang sains kesihatan serta menjadi rujukan kepada pembuat dasar dan industri yang berkaitan.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab menyatakan bahawa program yang dianjurkan pada hari ini dapat membantu pihak FSK, UKM mencapai penarafan dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) melalui penerbitan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab.

Pada masa yang sama, program seumpama ini membolehkan para peserta mengetahui cara untuk menulis dengan betul dan menepati bidang penulisan yang ingin ditulis. Kami sememangnya sangat menggalakkan para pegawai profesional untuk terlibat dalam program seperti ini bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan cara menghasilkan penulisan popular yang bermutu.

Susulan itu, Sesi Bimbingan Penulisan Popular ini berkongsikan maklumat berkaitan dengan penulisan rencana untuk majalah Dewan Kosmik, penerbitan majalah secara digital melalui platform JendelaDBP dan menyebarluaskan maklumat tentang peluang penulisan dalam majalah terbitan DBP.

Editor Majalah Dewan Kosmik, Puan Norfaranieza Muhd Ariffin ketika memberikan taklimat dalam Sesi Bimbingan Penulisan Popular.

Program yang disertai oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik, pegawai sains dan golongan profesional ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan telah berlangsung dengan jayanya.

Peserta yang terlibat dalam Sesi Bimbingan Penulisan Popular.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.