Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik Belanjawan Madani 2023 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, khususnya keprihatinan terhadap sektor pertanian negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, “Belanjawan tersebut diyakini dapat mendepani pelbagai cabaran dalam sektor agromakanan termasuklah pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan.”
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.39 bilion kepada KPKM pada tahun ini, iaitu kenaikan sebanyak 12.06 peratus berbanding dengan RM4.81 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya lagi, peningkatan ini membuktikan bahawa keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Menurut beliau, selaras dengan agenda keterjaminan makanan, pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion diperuntukkan dengan tambahan RM228 juta sumbangan tunai kepada pesawah serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Pemberian ini dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.
Inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal telah ditekankan untuk memperluaskan dan memperkasakan penerimaangunaan teknologi moden bagi menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja dalam sektor pertanian.
Pada masa yang sama, beliau turut menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) seperti yang dinyatakan dalam pembentangan belanjawan. Hal ini dikatakan demikian kerana kolaborasi oleh semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.
Tambahnya lagi, antara inisiatif yang diumumkan ialah penanaman jagung bijian, jualan rahmah, platform Cloud Kitchen dan program kebun komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.
KPKM sebagai peneraju dalam agenda keterjaminan makanan negara komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga yakin bahawa inisiatif Belanjawan Madani ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari dengan objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).