23 Februari 2023, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terapi perubatan makanan ialah panduan bagi pegawai dietetik dalam memberikan khidmat nasihat pemakanan berdasarkan pembuktian hasil kajian saintifik mengikut peredaran semasa. Panduan ini merupakan pendekatan secara individu dalam memberikan kaunseling dan pendidikan pemakanan serta gaya hidup sihat, khasnya untuk individu yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah atau kolesterol tinggi, kegagalan fungsi buah pinggang dan kanser.

Pada tahun ini, kanser berada pada kedudukan keempat bagi punca kematian utama di hospital kerajaan di Malaysia. Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa kanser menyumbang sebanyak 12.18 peratus kematian rakyat.

Kanser payudara, usus atau kolon, paru-paru, nasofarinks dan hati adalah antara lima jenis kanser yang tertinggi di Malaysia. Institut Penyelidikan Kanser Malaysia menjangkakan setiap satu daripada empat orang individu boleh menghidapi kanser akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

Secara umumnya, pesakit kanser akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum mendapatkan rawatan. Kanser boleh dirawat melalui beberapa kaedah seperti pembedahan, radioterapi atau kemoterapi, terapi hormon dan terapi pemakanan perubatan (diet seimbang).

Pada kebiasaannya, pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan akan mengalami penurunan berat badan yang ketara kerana selera makan yang terganggu. Hal ini akan menyebabkan pesakit kekurangan zat makanan. Oleh hal yang demikian, pegawai dietetik berperanan memberikan saranan dan nasihat pemakanan dengan terperinci bagi membantu pesakit mendapat khasiat makanan yang secukupnya serta berada pada tahap kesihatan yang memuaskan.

Panduan pemakanan dan langkah-langkah bagi membantu menambah baik status kesihatan pesakit kanser adalah seperti yang berikut:

  • Mengamalkan diet tinggi protein.

Pesakit kanser memerlukan diet yang kaya dengan sumber protein untuk membina dan membaiki semula sel, tisu dan otot yang rosak, mempercepatkan penyembuhan luka, melawan jangkitan, serta menguatkan sistem ketahanan (imunisasi) badan.

Sumber protein terdiri daripada sumber haiwan (protein berkualiti tinggi) seperti ayam, ikan, daging, makanan laut dan sumber tumbuhan (protein berkualiti rendah) seperti tahu, tempe, keju, dan kekacang.

Sumber makanan yang kaya dengan zat protein.
  • Memastikan makanan dimasak dengan selamat. Elakkan mengambil makanan mentah dan separuh masak.

Pesakit kanser perlu mementingkan dan mengamalkan penjagaan rapi dalam kaedah penyediaan makanan kerana mereka mudah terkena jangkitan jika makanan tidak dicuci dengan bersih.

Makanan mentah seperti susyi, telur mentah atau sayur-sayuran yang belum dimasak sepenuhnya terdedah kepada keracunan makanan dan jangkitan kuman atau bakteria. Oleh hal yang demikian, pesakit kanser perlu memastikan bahan mentah dicuci dengan bersih di bawah aliran air yang mengalir sebelum menyediakan makanan.

  • Mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan antioksidan dalam tubuh.

Sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan antioksidan yang berfungsi melindungi sel daripada radikal bebas yang merosakkan sel tubuh. Radikal bebas ini dihasilkan dalam badan akibat pengambilan ubat semasa menjalani rawatan kanser.

Sayur-sayuran hijau (brokoli, kobis, bayam, daun salad), tomato, lobak merah, dan buah-buahan (oren, epal, pisang, beri) amat disarankan dalam diet pesakit kanser. Pengambilan dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran seperti cadangan KKM amat digalakkan bagi pesakit kanser.

Rajah 1 Panduan pengambilan sajian sayuran dan buahan sehari. (Sumber: Bahagian Pemakanan, KKM)
  • Mengelakkan pengambilan makanan yang dibakar, disalai dan makanan terproses.

Makanan yang dibakar, disalai dan makanan terproses terdedah kepada bahan berkasinogen (bahan menggalakkan pertumbuhan sel kanser dalam badan). Misalnya makanan seperti sosej, kek, minuman berkarbonat, jus buah, biskut, makanan segera atau produk yang mengandungi daging terproses.

Kajian mendapati bahawa makanan terproses mampu meningkatkan risiko kanser disebabkan kadar nutrisi yang tidak seimbang. Komposisi makanan yang tinggi dengan tenaga (kalori), natrium (komposisi garam), lemak trans dan lemak tepu, gula serta rendah sumber serat menyumbang kepada masalah berat yang berlebihan (obesiti) dan kanser.

Selain itu, makanan terproses mengandungi pelbagai bahan pengawet serta bahan kimia tersembunyi hasil daripada proses pembuatan makanan (akrilamid) yang disifatkan sebagai bahan berkarsinogen yang berisiko tinggi kepada perkembangan kanser. Oleh sebab itu, sumber makanan yang segar dan organik perlu menjadi pilihan utama bagi pesakit.

  • Memperbanyakkan minum air kosong untuk mengekalkan hidrasi badan.

Pengambilan sebanyak lapan gelas air kosong sehari amatlah penting untuk pesakit kanser. Air yang banyak mampu untuk menyingkirkan toksin dan mengurangkan kesan sampingan rawatan seperti sembelit, muntah, kelesuan dan keletihan. Badan memerlukan air yang cukup untuk menjalankan fungsi dengan baik.

 

Bagaimanakah pula jika seseorang pesakit itu sedang menjalani rawatan kanser? Apakah panduan pemakanan sekiranya selera makannya terjejas? Antara saranan pemakanan bagi menangani situasi ini termasuklah:

  1. Pengambilan susu pemakanan yang lengkap.

Pegawai dietetik akan memberikan saranan pengambilan susu pemakanan yang lengkap sekiranya pesakit tidak dapat makan dengan baik. Susu ini mengandungi nutrisi seimbang untuk membekalkan tenaga kepada badan dan mengurangkan penyusutan otot.

Susu ini berfungsi sebagai pengganti makanan sementara selera makan kembali pulih. Susu ini bukan sahaja dilengkapi dengan vitamin dan mineral, malah telah diformulasikan bagi memudahkan proses penghadaman dan penyerapan nutrisi dalam tubuh. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa pesakit kanser perlu mendapatkan nasihat lanjut daripada pegawai dietetik sebelum mengambil susu ini.

  1. Makan dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

Kesan sampingan seperti keletihan, lesu, loya, sensitif terhadap bau, rasa sakit berpanjangan selepas sesi rawatan tamat boleh mengganggu pengambilan makanan pesakit kanser.

Bagi situasi ini, pesakit digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi makan dengan lebih kerap, iaitu sebanyak tiga kali bagi makanan utama bersama-sama dua kali hingga tiga kali hidangan snek. Cadangan pemakanan ini amatlah penting untuk membekalkan tenaga yang secukupnya kepada pesakit kanser bagi menjalankan aktiviti harian.

  1. Mengehadkan makanan yang berlemak atau bergoreng yang boleh menyebabkan pesakit mengalami mual dan muntah.

Sesetengah pesakit kanser kerap mengalami rasa mual dan muntah. Pilihan makanan yang bergoreng atau terlalu berlemak akan memburukkan lagi gejala ini.

Antara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa mual dan muntah termasuklah makan makanan berkanji yang kering seperti nasi, kentang, roti atau pasta. Pesakit juga perlu mengelakkan makanan pedas kerana boleh merangsang mual dan loya.

Selain itu, pesakit disarankan untuk makan gula-gula berperisa pudina atau limau apabila mula rasa mual. Makanan yang lembut, mudah untuk dihadam juga dan bersuhu bilik atau dingin juga dicadangkan untuk pesakit kanser.  Untuk minuman pula, pesakit perlu mengambil minuman yang menyegarkan atau mengandungi halia untuk membantu melegakan rasa mual dan muntah.

Secara keseluruhannya, pesakit kanser hendaklah merujuk dan berbincang dengan pakar pemakanan atau pegawai dietetik bagi mendapatkan khidmat nasihat dan panduan pemakanan pesakit yang betul. Keperluan pemakanan yang khusus dan berkualiti akan meningkatkan status pemakanan, mengurangkan komplikasi penyakit dan menambah baik kualiti hidup pesakit kanser.

 

Rencana ini disediakan oleh Siti Khadijah Rosle, Siswazah Sarjana Sains Kesihatan Pemakanan Klinikal, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan disemak oleh Profesor Madya Dr. Nik Shanita Safii, pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.