Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Usaha pemodenan sektor agromakanan ialah satu daripada pemangkin untuk menarik minat bakat muda dalam menceburi bidang tersebut sekali gus menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan di Sarawak.
Demikian ulasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Chan Foong Hin ketika membuat kunjungan hormat kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), YB Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
Dalam lawatan sulung YB Chan Foong Hin ke Sarawak sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri MAFS pada 9 Disember 2022 yang lalu, beliau menyatakan bahawa pertemuan ini adalah penting bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam mengeratkan kerjasama strategik kementerian pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sarawak bagi memastikan keterjaminan makanan negara.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa pembangunan industri asas tani bakal menambah nilai eksport diiringi usaha meneroka pasaran antarabangsa, terutamanya Asia Tenggara selain memperkasakan keterjaminan makanan di dalam negara.
Kedua-dua pihak bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya perkongsian data dan maklumat pertanian, pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa serta pemantapan program latihan pertanian dan program Agropreneur Muda.
Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak pada setiap peringkat diharapkan dapat lebih dipererat bagi membangunkan sektor pertanian.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah para Pegawai Kanan Jabatan dan Agensi MAFS.