Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kerajaan komited untuk terus memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyarankan agar PBT menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon bagi menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.
“Saranan itu adalah penting bagi mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG) berdasarkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) 2021,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022, baru-baru ini.
Tambahnya, NLCCM telah memberikan panduan kepada pihak berkepentingan seperti pemaju, PBT, perancang bandar, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam bagi menerajui konsep pembangunan mampan secara lestari.
Rancangan dan pembangunan bandar yang mampan serta transformasi bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon adalah amat penting di samping dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan ruang pekerjaan hijau serta menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama kerajaan negeri dan PBT mengikut zon pada tahun ini bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan NLCCM.
Konsep ini amat bertepatan dan selaras dengan tonggak utama dalam konsep Malaysia Madani, iaitu kemampanan dan merupakan satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon dan 1000 rakan kongsi rendah karbon di seluruh negara menjelang tahun 2030.
Jelasnya lagi, pengurangan pelepasan GHG yang dicatatkan pada tahun lalu berjumlah 209 214 tan karbon dioksida bersamaan dengan penanaman 5.2 juta batang pokok. Malaysia perlu terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim bagi mencapai pelepasan GHG sifar bersih selewat-lewatnya pada tahun 2050.
Untuk makluman, Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 adalah untuk mengiktiraf hasil usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri, PBT, badan kerajaan dan organisasi swasta dalam melaksanakan inisiatif pengurangan pelepasan GHG di kawasan masing-masing menerusi program cabaran bandar rendah karban tahun 2030.
Dalam majlis ini, anugerah khas telah dimenangi oleh Majlis Bandaraya Shah Alam bagi kategori Anugerah PBT Paling Aktif, manakala Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak telah dimenangi oleh Majlis Perbandaran Sepang.