22 Februari 2023, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Majlis pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National University of Singapore (NUS) telah diadakan di Auditorium Khalid Yusoff, Fakulti Perubatan, UiTM Kampus Sungai Buloh, semalam.

Pertukaran MoA ini memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua belah pihak sekali gus meningkatkan kompetensi UiTM pada peringkat antarabangsa melalui program perkongsian kepakaran, penganjuran bersama pertandingan antarabangsa, pertukaran staf, aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

Sesi bergambar ketika majlis pertukaran MoA antara UiTM dengan NUS.

Dalam majlis tersebut, dokumen perjanjian berkenaan telah diserahkan oleh Penolong Naib Canselor UiTM Global, YBrs. Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin yang mewakili Naib Canselor, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor kepada Pengarah Program Sains Forensik NUS, YBrs, Profesor Madya Dr. Stella Tan serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Perubatan, YBrs. Profesor Madya Dr. Fazah Akhtar Hanapiah.

Kerjasama dua hala ini dapat menggalakkan aktiviti penyelidikan dan penerokaan kerjasama antarabangsa baharu pada masa akan datang yang mengarah kepada matlamat untuk mencapai agenda dalam pelan strategik UiTM 2025.

Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah bengkel entomologi forensik telah dianjurkan dan disertai oleh 38 orang pelajar yang terdiri daripada 17 orang pelajar Sarjana Sains Forensik dan 21 orang pelajar prasiswazah daripada pelbagai bidang dari NUS. Bengkel yang dianjurkan oleh Institut Bioteknologi Perubatan Molekul ini ialah satu daripada program pertukaran kepakaran yang telah dirintis oleh ahli entomologi dari Fakulti Perubatan UiTM, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin melalui sesi perkongsian dan pembelajaran subjek Entomologi Forensik secara dalam talian sejak tahun 2020.

Bengkel entomologi forensik turut dianjurkan bersempena dengan majlis pertukaran MoA antara UiTM dengan NUS.

Bengkel selama lima hari yang bermula dari 20 Februari 2023 hingga 24 Februari 2023 merangkumi beberapa siri syarahan, perbincangan, kerja lapangan, penilaian dan melibatkan perkongsian kepakaran daripada pensyarah UiTM seperti YBrs. Profesor Madya Dr. Razuin Rahimi dan YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin.

Selain itu, aktiviti pengajaran dan pengurusan bengkel entomologi forensik ini turut melibatkan YBrs. Profesor Dr. Stella Tan dan YBrs. Dr. Shawn Lee serta Mr. Ng Wei Bo yang merupakan pensyarah pengiring bagi rombongan NUS.

Pada masa yang sama, antara penceramah lain yang turut menyertai bengkel ini dan terlibat dalam pengajaran kepada pelajar NUS ialah felo penyelidik, YBrs. Dr. Tania Ivorra, pasca kedoktoran, YBrs. Dr. Abby Jones dan para pelajar pada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di bawah seliaan YBrs. Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin.

Untuk makluman, UiTM ialah sebuah universiti komprehensif yang terbesar di Malaysia dan menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur serta teknologi terkini merangkumi 34 kampus, empat kolej pengajian, 13 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara.

UiTM juga menawarkan lebih daripada 500 program akademik pada peringkat asasi, pradiploma, diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah serta program profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensinya dan memperoleh pelbagai pencapaian terhebat.

Dengan lebih daripada 900 000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka di dunia menjelang tahun 2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!