21 Februari 2023, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berpeluh akibat senaman ialah proses semula jadi badan. Walau bagaimanapun, peluh sering dilihat sebagai gangguan. Berpeluh penting bagi mengawal dan mengekalkan suhu badan. Namun begitu, berpeluh juga boleh menyebabkan bau badan dan menjadikan seseorang itu tidak selesa.

Berpeluh dengan banyak semasa bersenam merupakan perkara biasa. Sesetengah orang mungkin berpeluh lebih banyak akibat intensiti senaman yang tinggi, jenis pakaian yang dipakai atau suhu persekitaran semasa bersenam.

Kita juga sering mendengar bahawa berpeluh semasa bersenam akan memaksimumkan pembakaran lemak. Kebanyakan orang percaya bahawa lebih banyak peluh bermakna senaman yang dilakukan adalah lebih baik dan lebih banyak kandungan lemak yang telah dibakar.

Bertahun-tahun lamanya, teori kadar perpeluhan menjadi parameter untuk mengukur keberkesanan senaman dan pembakaran kalori. Namun demikian, benarkah teori tersebut? Adakah lebih banyak peluh yang dikeluarkan bermaksud lebih banyak lemak yang dibakar?

Jawapan kepada persoalan tersebut ialah tidak! Jumlah peluh bukanlah pengukur senaman yang baik atau peningkatan kehilangan lemak. Kenyataan tersebut adalah mitos semata-mata.

Berpeluh

Manusia ialah mamalia yang mampu berlari jarak jauh. Walaupun kebanyakan mamalia lain boleh memecut lebih pantas daripada manusia disebabkan oleh beberapa kelebihan lain seperti berkaki empat, namun manusia juga boleh menjadi pelari jarak jauh. Jadi, apakah kaitannya dengan peluh?

Pada asasnya, berpeluh ialah cara semula jadi badan untuk mengawal suhu badan. Badan yang berpeluh ialah fenomena yang menjadikan badan lebih sejuk sebagai tindak balas kepada kenaikan suhu badan.

Berpeluh menyebabkan badan mengeluarkan air dan garam. Peluh akan tersejat ke udara bersama-sama haba daripada badan. Suhu badan manusia yang normal biasanya sekitar 37 darjah Celsius. Namun begitu, sekiranya badan menjadi terlalu panas, sama ada disebabkan oleh suhu persekitaran atau pergerakan manusia yang aktif, badan mempunyai mekanisme semula jadi yang sangat canggih untuk mengesan dan mengawal suhu badan supaya tidak terlalu tinggi.

Sebaik sahaja suhu dalaman badan mula meningkat, hipotalamus akan menghantar isyarat kepada kelenjar peluh yang berada di seluruh badan bahawa sudah tiba masanya untuk mula menyejukkan badan dengan mengeluarkan peluh. Hipotalamus ialah struktur dalam otak yang menghubungkan sistem endokrin dengan sistem saraf. Fungsi utama hipotalamus adalah untuk mengekalkan keseimbangan dalaman badan, termasuklah keseimbangan suhu badan manusia, yang dikenali sebagai homeostasis.

Walau bagaimanapun, proses menyejukkan badan tidaklah semudah dengan peluh yang hanya menitis daripada badan. Sebahagian daripada peluh ini perlu disejat daripada kulit untuk menyejukkan badan dan menjadikan proses perpeluhan ini benar-benar berfungsi. Penyejukan badan melalui peluh bergantung pada prinsip fizik yang dipanggil pengewapan haba.

Proses pengewapan haba memerlukan tenaga untuk menyejatkan peluh daripada kulit. Tenaga yang dimaksudkan ialah haba. Haba badan yang berlebihan digunakan untuk menukarkan peluh kepada wap. Hal tersebut menjadikan kulit semakin sejuk.

Semasa berpeluh, seseorang itu juga akan kehilangan air. Air penting untuk kegunaan organ dalam badan. Hal ini bermakna apabila seseorang itu berpeluh, mereka perlu memastikan air diminum dengan banyak supaya air yang hilang akibat peluh dapat digantikan.

Peluh, Kalori dan Lemak

Berpeluh itu tidak membakar jumlah kalori yang boleh diukur, namun berpeluh mengeluarkan cecair yang akan menyebabkan seseorang itu kehilangan berat air.

Kehilangan berat badan akibat kehilangan air melalui peluh merupakan kehilangan berat badan secara sementara waktu. Sebaik sahaja kita meminum air atau makan semula selepas melakukan senaman, kedua-dua perkata tersebut akan digantikan semula bagi sebarang berat badan yang hilang semasa senaman.

Oleh hal yang demikian, bagaimanakah seseorang itu boleh kehilangan lemak?

Satu-satunya cara untuk mencapai kehilangan lemak adalah dengan mencipta defisit kalori melalui pemakanan yang sihat dan senaman yang konsisten. Sebelum ini, teori hubungan antara peluh dengan jumlah kalori atau lemak yang dibakar ini telah tercipta, walaupun tanpa sebarang bukti atau kebenaran untuk menyokong teori ini.

Oleh sebab itu, memaksa diri untuk lebih berpeluh dengan bersenam dalam keadaan panas atau memakai pakaian yang tebal tidak akan menyebabkan kehilangan lemak. Peluh hanyalah menjadi petunjuk bahawa badan kita telah kehilangan air dan bukannya lemak!

Sesetengah orang mendakwa bahawa aktiviti senaman seperti yoga Bikram membolehkan lemak dibakar sehingga 1000 kalori dalam masa sejam, namun dakwaan itu berkemungkinan palsu.

Yoga Bikram ialah yoga yang dilakukan di dalam bilik yang dipanaskan dengan suhu antara 38 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius. Kajian mendapati bahawa hanya 330 kalori terbakar bagi individu wanita, manakala sebanyak 460 kalori terbakar bagi individu lelaki dalam kelas yoga Bikram yang diadakan selama 90 minit. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan aktiviti berjalan pantas sejauh 5.6 kilometer untuk jumlah masa yang sama.

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa tenaga diperlukan untuk mengangkut ion yang membolehkan air bergerak ke dalam kelenjar untuk dirembeskan sebagai peluh. Walau bagaimanapun, jumlah kalori yang dibakar tetap tidak banyak. Dengan kata lain, hanya sedikit tenaga diperlukan untuk berpeluh dan hal tersebut tidak mencukupi untuk menghasilkan perbezaan yang ketara terhadap berat badan.

Secara umumnya, kalori tetap dibakar semasa bersenam walaupun seseorang itu tidak berpeluh dengan banyak atau tidak berpeluh sama sekali. Sebagai contohnya, seseorang itu masih membakar kalori semasa berenang, berjoging, berbasikal atau berlari pada musim sejuk.

Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti fizikal itu sendiri sebenarnya yang membakar kalori. Lebih tinggi intensiti senaman dan lebih banyak otot yang digunakan dengan lebih lama senaman dilakukan, maka lebih banyak kalori dibakar dan lebih banyak peluh serta haba dikeluarkan.

Kuantiti peluh yang dikeluarkan oleh seseorang biasanya paling ketara semasa melakukan senaman kardio berbanding dengan senaman latihan bebanan. Namun demikian, hal itu tidak bermakna seseorang itu tidak melakukan senaman yang baik atau kalori tidak terbakar. Keadaan tersebut hanya bermakna suhu badan seseorang itu tidak meningkat dengan banyak.

Kadar Perpeluhan 

Antara faktor yang menyumbang kepada kadar perpeluhan termasuklah suhu, kelembapan, genetik, berat badan, pengambilan air, jantina, umur dan tahap kecergasan. Daripada semua faktor ini, berat badan dan tahap kecergasan ialah faktor yang paling mempengaruhi kadar perpeluhan semasa bersenam.

Badan perlu menggunakan lebih banyak tenaga untuk berfungsi pada berat yang lebih tinggi. Hal ini mengakibatkan lebih banyak peluh terhasil kerana terdapat lebih banyak jisim badan untuk disejukkan.

Seseorang yang lebih cergas biasanya akan lebih cepat berpeluh kerana badan lebih cekap mengawal suhu. Berpeluh lebih awal bermakna badan boleh menjadi lebih cepat sejuk. Keadaan ini juga membolehkan seseorang itu bersenam dengan lebih lama pada intensiti yang lebih tinggi. Sebaliknya, orang yang tidak cergas atau lebih berat mungkin juga berpeluh dengan lebih banyak yang disebabkan oleh jisim badan yang besar yang perlu disejukkan.

Untuk menurunkan berat badan, seseorang itu perlu membakar lebih banyak kalori daripada keperluan yang diambil. Dianggarkan sekitar 3500 kalori bersamaan dengan 453 gram lemak. Oleh hal yang demikian, seseorang itu perlu membakar lebih daripada 3500 kalori daripada jumlah kalori yang diambil melalui pemakanan untuk menurunkan berat badan sebanyak 453 gram.

Cara yang terbaik untuk mencapai berat badan yang sihat adalah dengan mengamalkan gaya hidup aktif. Pengambilan diet yang sihat dan bersenam dengan konsisten, misalnya selama 30 minit pada setiap sesi sebanyak lima kali seminggu merupakan cara yang terbaik untuk mencapai matlamat penurunan berat badan dengan selamat.

 

Dr. Nursyuhada Mohd Sukri, Ketua Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.