Oleh Firdaus Mul
19 Februari 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiu – Selain terkenal dengan pelbagai budaya, Malaysia juga popular sebagai “Mega Biodiversity Country” di seluruh dunia. Baru-baru ini, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Ketua Unit Pembangunan Inklusif dan Kemakmuran, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Encik Asfaazam Kasbani bagi membicarakan topik “Pemeliharaan Sumber Alam, Jamin Ekonomi Setempat”.

Sesi temu bual bersama-sama Ketua Unit Pembangunan Inklusif dan Kemakmuran, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Asfaazam Kasbani (kanan) bagi membicarakan topik “Pemeliharaan Sumber Alam, Jamin Ekonomi Setempat” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan bahawa peranan yang dilaksanakan oleh UNDP dalam membantu kerajaan adalah dari segi pembangunan kapasiti, pembangunan polisi, mendemonstrasikan aktiviti yang boleh direplikasikan di mana-mana agensi dan pihak kerajaan negeri. Mandat UNDP lebih menjurus kepada pembangunan dasar, pembasmian kemiskinan, tadbir urus, kesaksamaan gender, alam sekitar dan pembangunan tenaga yang mampan.

Dalam sesi temu bual ini juga, beliau turut berkongsikan hala tuju yang telah diatur oleh UNDP bagi daerah Setiu di Terengganu. Menurutnya,

Di Setiu, UNDP membantu dari segi inisiatif untuk menjadikan budaya dan seni di sini dapat digunakan dalam bentuk pelancongan dan memastikan pelancongan dalam keadaan kebiasaan baharu ini terkawal dan mampan. Dalam hal ini, UNDP akan menghubungkan matlamat pembangunan mampan yang memfokuskan kepada tiga perkara, iaitu sosial, ekonomi dan persekitaran.

Pada masa yang sama, beliau juga mengupas perihal ekopelancongan dan pelancongan secara besar-besaran. Konsep ekopelancongan adalah melibatkan komuniti itu sendiri dalam memberikan kerjasama dan memastikan kawasan tempatan seperti tanah lembap dan sungai Setiu digunakan dan dijaga selepas melancong.

Sementara itu, pelancongan secara besar-besaran pula merujuk kehadiran pelancong beramai-ramai ke suatu tempat, kemudian menetap di tempat tersebut dalam tempoh masa yang agak lama serta menggunakan sumber tempatan tanpa mengira isu tempatan di tempat berkenaan.

Terlalu banyak peluang dan potensi pelancongan yang boleh diketengahkan di Setiu. Elemen yang unik, budaya dan komuniti adalah antara perkara yang menarik perhatian para pelancong untuk melancong di Setiu.

Pada akhir sesi temu bual, beliau menyatakan bahawa program dan projek yang dilaksanakan oleh UNDP bukan sekadar di Setiu sahaja, malah terdapat juga projek yang dijalankan di Manjung dan Mersing dengan bantuan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.