17 Februari 2023, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Durian ialah satu daripada sumber kekayaan Malaysia. Industri durian di Malaysia juga mempunyai potensi yang besar. Menurut rekod Jabatan Pertanian Malaysia, pada tahun 2021, keluasan kawasan penanaman durian adalah sebanyak 85 280 hektar, manakala keluasan kawasan berhasil pula sebanyak 57 973 hektar. Keluasan kawasan ini menyumbang potensi hasil sebanyak 22 tan durian per hektar.

Varieti durian yang menjadi pilihan untuk dieksport ialah musang king (D197). Pada kebiasaannya, durian dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Brunei dengan nilai eksport mencecah RM122 juta yang bersamaan dengan 26 ribu tan. Banyak negara berminat untuk mengimport durian dari Malaysia disebabkan oleh kualiti durian Malaysia yang baik, lebih manis, lemak dan beraroma.

Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan China kebanyakannya mengimport durian dalam bentuk beku selain durian segar. Selain durian beku, durian segar turut diimport ke Indonesia, negara Eropah dan Emiriyah Arab Bersatu.

Terdapat pelbagai jenis durian di Malaysia selain durian kampung. Antaranya termasuklah duri hitam, tekka, IOI, D24, dan DKP. Varieti seperti durian dalit, durian kuning, durian lahong biasanya terdapat di Borneo. Hingga kini, Jabatan Pertanian telah mendaftar sebanyak 226 varieti durian klon yang premium.

Pada tahun 2016, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan satu standard durian kampung premium. Antara standard bagi durian jenis ini termasuklah bertangkai segar, isi berwarna putih krim, kuning atau jingga dengan ketebalan isi melebihi 10 milimeter dan berat buah melebihi satu kilogram.

Ciri standard durian kampung premium yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian.

Tiga negeri utama yang menyumbang pengeksportan durian sebanyak 448 ribu tan durian dengan nilai sebanyak RM8.46 bilion ialah Johor, Pahang dan Perak. Walau bagaimanapun, Malaysia turut mengimport durian daripada Thailand dengan nilai sebanyak RM17 juta yang bersamaan dengan enam ribu tan.

Permintaan dan pengeluaran di Malaysia terus meningkat saban tahun. Dianggarkan peningkatan pengeluaran berlaku antara dua peratus hingga lima peratus setiap tahun, namun jumlah demikian masih belum mencukupi untuk pasaran eksport ke luar negara. Nilai eksport durian juga dijangkakan terus meningkat setiap tahun. Oleh hal yang demikian, Jabatan Pertanian amat menggalakkan mana-mana pihak untuk menceburi industri penanaman durian.

Antara cabaran industri durian di Malaysia termasuklah pengeluaran bekalan durian yang berterusan, serangan penyakit dan perosak, pemasaran, persaingan antara negara pengeksport lain menggunakan nama varieti yang sama dan penggunaan teknologi dalam pengurusan ladang.

Di Malaysia, musim pengeluaran durian adalah pada bulan Jun, Julai dan Ogos. Untuk pengeluaran bekalan yang berterusan, pihak industri menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan buah durian sehingga suhu negatif 80 darjah Celcius untuk penyimpanan. Stok durian beku ini dapat disimpan selama dua tahun.

Kaedah pembekuan buah durian menggunakan cecair nitrogen.

Serangan penyakit dan perosak durian pula menjadi ancaman kepada pengusaha industri durian. Serangan haiwan seperti tupai boleh mengakibatkan serangan kulat pada durian. Serangan kulat turut boleh berlaku akibat faktor kelembapan dalam ladang durian.

Bintik daun yang terbentuk akibat serangan antraknos pada daun pokok durian boleh berkembang dan membesar lalu merosakkan pokok durian. Hawar daun yang menyebabkan daun bertukar warna perang gelap atau keunguan juga boleh menyebabkan daun gugur di samping memberikan kesan pereputan akar dan pokok lalu menjadi matirosot.

Kutu psyllid biasanya menyucuk dan menghisap pucuk daun muda dan menjadikan daun kerinting dan kering seterusnya mengakibatkan kerosakan pokok yang teruk. Teritip daun pula menghisap cairan sap gel pada daun dan boleh menyebabkan tumbesaran pokok terjejas.

Pemasaran durian segar secara dalam talian turut dijalankan dan eksport durian sedang digiatkan pada peringkat antarabangsa oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Negara lain juga telah mula menanam varieti durian musang king dan hal ini memberikan cabaran buat Malaysia.

Inovasi pengenalan identiti menggunakan kod bar dan usaha bersama-sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan pengesanan genetik bagi membantu jaminan kualiti varieti buah durian yang dihasilkan di Malaysia. Penggunaan Internet benda (IOT) untuk pengairan ladang, pengesanan buah durian yang gugur melalui aplikasi telefon pintar juga dapat menjadikan pengurusan masa tuaian buah durian lebih baik.

Antara impak peningkatan pasaran durian di dunia termasuklah harga durian yang meningkat, kepelbagaian penggunaan durian, peningkatan penyertaan syarikat, harga tanah ladang yang meningkat dan faktor agropelancongan.

Harga durian yang terus meningkat adalah disebabkan oleh faktor pengenalan durian kampung premium dan hal ini menyumbang pada peningkatan harga varieti durian yang lain. Kepelbagaian penggunaan durian turut membuka pelbagai industri hiliran yang membuat pelbagai produk sampingan daripada durian seperti cendol durian, pulut durian, aiskrim durian dan lain-lain.

Sementara itu, peningkatan penyertaan syarikat dalam industri durian berlaku akibat pulangan lumayan hasil penanaman durian. Sebanyak 41 syarikat pemprosesan durian wujud untuk tujuan domestik dan eksport, manakala 20 syarikat terlibat secara langsung dalam pemprosesan sejuk beku durian.

Populariti industri durian turut menyumbang kepada peningkatan harga tanah ladang. Mengambil contoh di Raub, harga urus niaga tanah hanya kira-kira RM120 ribu hingga RM150 ribu seekar atau kira-kira RM2.56 hingga RM3.44 untuk setiap kaki persegi sebelum meningkat kepada RM300 ribu hingga RM400 ribu seekar atau kira-kira RM6.89 hingga RM9.18 untuk setiap kaki persegi pada tahun 2016. Industri agropelancongan turut merancakkan industri durian dengan peningkatan pelancong saban tahun dan memberikan pulangan yang memberangsangkan kepada negara.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Jabatan Pertanian Malaysia menyasarkan pengeluaran sebanyak 1.75 juta anak pokok durian dan 10 metrik tan biji benih dalam tempoh lima tahun ini. Pada tahun 2021, sebanyak 20 ribu anak benih telah dihasilkan di Pusat Pertanian Serdang.

Bagi pengusaha benih durian, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) untuk memberikan keyakinan pembeli terhadap ketulenan varieti tanaman durian. Terdapat 16 varieti durian yang berdaftar dan 222 nurseri telah menyertai SPBT pada tahun 2021.

Ciri bahan tanaman durian berkualiti menurut Jabatan Pertanian.

Dari segi pengeluaran bahan tanaman durian berkualiti, terdapat enam elemen penting dalam pertanian yang perlu diteliti, iaitu benih, tanah, cuaca, air, teknologi dan tenaga kerja. Sesuatu bahan tanaman itu dikatakan berkualiti apabila mempunyai saiz yang seragam, pertumbuhan yang cergas, varieti yang tulen dari segi genetik dan bebas daripada penyakit dan perosak. Bagaimanakah jika bahan tanaman durian yang didapati tidak berkualiti? Pelbagai kesan pembaziran yang harus ditanggung seperti masa dan tenaga, peningkatan kos input, lambat mendapatkan hasil, buah tidak berkualiti serta potensi hasil tanaman terjejas.

Untuk mendapatkan bahan tanaman yang berkualiti, terdapat lima kriteria yang perlu diambil berat, iaitu pengurusan mata tunas yang baik, kaedah pembiakan yang sesuai, pengurusan penyakit dan perosak benih, kemudahan di pusat pengeluaran benih dan tenaga kerja berkemahiran.

Pengurusan mata tunas yang baik mestilah mempunyai jarak antara tanaman, iaitu kira-kira 10 kaki x 10 kaki. Hal ini adalah berbeza dengan jarak tanaman komersial. Pokok dengan mata tunas hendaklah dipastikan tidak meninggi dan tidak berbuah kerana ranting diperlukan daripada pokok tunas. Pokok dengan mata tunas yang cergas seharusnya mempunyai pertumbuhan daun atau pucuk yang aktif, pembentukan daun yang baik, ranting atau daun bebas dari jangkitan penyakit dan serangan perosak serta daun berwarna hijau dan tidak kekuningan.

Kaedah pembiakan yang sesuai untuk durian ialah menggunakan biji, cantuman mata tunas dan cantuman baji. Antara kelebihan teknik cantuman termasuklah memendekkan masa penghasilan buah berbanding dengan kaedah biji. Bagi yang memilih kaedah biji, pastikan biji durian yang akan digunakan bersaiz besar, bernas, matang dan bulat.

Tujuan semaian biji durian dilakukan adalah untuk untuk menghasilkan pokok penanti (bahagian pokok yang akan menjadi sistem akar). Biji durian perlu dirawat dengan racun kulat sekiranya perlu, kemudian disemai atau ditanam secara rapat.

Siraman air hendaklah dilakukan pada setiap hari. Biji durian akan mula bercambah selepas lima hari hingga tujuh hari. Anak pokok boleh dipindahkan selepas satu bulan hingga dua bulan atau apabila anak pokok telah mengeluarkan antara tiga daun hingga empat daun.

Anak pokok yang sihat dan batang yang lurus hendaklah dipilih sebelum dimasukkan di dalam polibeg yang disediakan. Jenis tanah campuran yang perlu digunakan ialah tanah atas (topsoil), gambut kelapa dan sekam padi bakar dengan nisbah 3:11. Saiz polibeg yang ideal ialah 10 inci x 8 inci atau 10 inci x 12 inci.

Tanah atau media yang baik dapat memberikan akar yang sihat seterusnya menghasilkan pokok durian yang dapat menyerap nutrien dengan baik. Ciri akar yang sihat ialah berwarna cerah, akar sekunder atau tertier yang sangat banyak, kemerebakan akar yang luas dan terdapat pertumbuhan akar baharu.

Anak benih mestilah diletakkan di pusat pengeluaran benih yang sesuai. Tenaga kerja yang berkemahiran adalah sangat penting dan harus mempunyai keserasian dan pengalaman dalam pengurusan serangga perosak, pembiakan dengan kaedah cantuman, pengurusan anak benih serta boleh memberikan komitmen yang baik dalam setiap aktiviti pengeluaran biji benih.

Pemilihan biji durian yang baik.

Sebagai kesimpulannya, industri durian di Malaysia merupakan satu daripada sumber kekayaan negara dan semua pihak yang berkepentingan, terutamanya usahawan digesa untuk merebut peluang ini. Usahawan juga diseru untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pertanian bagi melancarkan segala urusan yang berkaitan dengan industri durian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.