Diterbitkan pada 16 Februari 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Permohonan untuk menggugurkan empat syarat lesen LPTA/A/1333 yang berkaitan dengan pengurusan residu water leach purification (WLP) dan aktiviti cracking and leaching (C&L) di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dikemukakan oleh Lynas pada 17 Mei 2022 lalu kepada Jabatan Tenaga Atom (JTA) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada ketika itu.

Susulan itu, Lynas telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen yang akan tamat pada 2 Mac 2023 kepada JTA pada 26 Oktober 2022 lalu. Kesemua permohonan ini dibawa ke dalam beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan untuk pertimbangan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

Bertitik tolak dengan hal berkenaan, LPTA telah memaklumkan secara rasminya kepada Lynas berkaitan dengan keputusan permohonan tersebut pada 13 Februari lalu.

Berdasarkan hasil mesyuarat LPTA, permohonan Lynas untuk mengugurkan empat syarat lesen berkaitan dengan pengurusan residu WLP selepas Julai 2023, aktiviti C&L di LAMP dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia telah ditolak oleh LPTA, manakala permohonan pembaharuan lesen Lynas untuk tempoh tiga tahun yang bermula 3 Mac 2023 hingga 2 Mac 2026 diluluskan.

Ekoran daripada hal ini, Lynas perlu terus mematuhi semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini sejak Mac 2020 agar aktiviti C&L yang menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia serta tiada lagi aktiviti C&L dilakukan di LAMP, Gebeng, Pahang selepas Julai 2023. Namun begitu, aktiviti lain yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan beroperasi seperti biasa. Hal ini bermakna tiada lagi sisa radioaktif tambahan daripada Lynas selepas Julai 2023.

Untuk makluman, Lynas telah menghasilkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif sejak beroperasi di negara ini dari tahun 2012. Jumlah sisa ini dijangkakan akan meningkat hingga mencecah 1.2 juta tan metrik hingga Julai 2023.

Kerajaan amat komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi. Namun begitu, tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif di negara ini secara berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi