Diterbitkan pada 13 Februari 2023, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cameron Highlands – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melancarkan Inisiatif Hijau Cameron Highlands bagi merawat sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan, iaitu dengan menukarkan sisa sayur-sayuran dan makanan kepada baja kompos.

Timbalan Menterinya, YB Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, “Inisiatif Hijau Cameron Highlands ialah inisiatif khas yang dilaksanakan di kawasan peranginan itu dan bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat.”

Tambah beliau, lima fokus utama akan diberikan tumpuan melalui inisiatif ini, iaitu kesedaran terhadap alam sekitar, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, waste to wealth dan penggunaan teknologi terkini.

“SWCorp sudah pun bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) melalui Kerajaan Tempatan Bandar Kitakyushu sejak Ogos 2015 bagi melaksanakan penambahbaikan pengurusan sisa pepejal dalam menjayakan projek pengkomposan sisa organik di Cameron Highlands,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Inisiatif Hijau Cameron Highlands baru-baru ini.

Katanya lagi, pihak JICA juga memberikan sumbangan berbentuk dua unit mesin kompos berkapasiti dua tan sehari bagi pelaksanaan projek ini di Cameron Highlands bermula tahun 2019.

Sepanjang projek ini dijalankan, dianggarkan sebanyak 804 tan metrik sisa organik sudah dikutip di kawasan Cameron Highlands. Bagi penghasilan produk akhir baja kompos pula, sebanyak 75 tan metrik baja kompos terhasil daripada aktiviti pengkomposan sisa organik dan sisa makanan tersebut./

Menurut beliau, SWCorp turut menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia (Pahang Chapter) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands (PPK Cameron Highlands) melibatkan pengumpulan sisa makanan dari pelbagai hotel di sekitar Cameron Highlands serta sisa organik dari kebun sayur-sayuran di bawah penjagaan PPK Cameron Highlands selain beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam projek ini.

“Fokus utama KPKT melalui SWCorp adalah untuk mencapai kadar 40 peratus sisa dilencongkan daripada tapak pelupusan pada tahun 2030, iaitu mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula.”

Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar Malaysia dapat mencapai kadar 45 peratus pengurangan jejak karbon menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan inisiatif hijau ini.

Majlis Perasmian Inisiatif Hijau Cameron Highlands turut disiarkan secara langsung dan boleh ditonton menerusi Facebook rasmi SWCorp.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi