Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pada tahun 2022, Malaysia menduduki tangga tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia bagi carta kes penghidap penyakit diabetes. Pada tahun 2025, dijangkakan sebanyak tujuh juta orang akan menghidapi penyakit diabetes. Menyentuh perihal penyakit diabetes, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menampilkan Pakar Perunding Ortopedik di UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr. Khairul Nizam Rosli bagi membicarakan topik “Diabetes, Luka dan Amputasi”.
Dr. Khairul Nizam Rosli membuka lembaran perkongsiannya dengan statistik anggaran penghidap penyakit diabetes di seluruh dunia. Menurutnya, hampir setiap tahun dianggarkan sebanyak satu juta penduduk dunia menghidap penyakit diabetes dan ulser kaki yang berakhir dengan amputasi (pemotongan sebahagian atau keseluruhan anggota).

Ujarnya lagi, kebanyakan pesakit yang datang ke hospital, kebiasaannya sudah berada pada tahap yang kritikal dan perlu menjalani amputasi.
Bertitik tolak daripada perkara itu, beliau melanjutkan perkongsiannya dengan menjelaskan beberapa simptom awal yang dialami oleh penghidap diabetes supaya masyarakat lebih cakna tentang penyakit diabetes.
Saya bahagikan kepada dua, iaitu simptom awal dan simptom lewat. Simptom awal biasanya terdiri daripada gejala kerap berasa dahaga, letih dan selalu membuang air kecil. Apabila mengalami simptom awal ini, saya cadangkan supaya segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan konsultasi.
Sementara itu, simptom lewat bagi diabetes ialah ulser yang mula kelihatan di kaki. Walaupun tidak mengalami luka fizikal secara sengaja, namun ulser masih berlaku disebabkan oleh kandungan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan terdapatnya jangkitan kuman dalam darah atau bakterimia.
Beliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas rawatan untuk penghidap diabetes dan tahap keterukan ulser yang disebabkan oleh diabetes.
“Kami akan memeriksa kaki pesakit dan melihat ulser yang ada. Untuk mengakui seseorang itu benar-benar menghidap komplikasi ulser akibat diabetes, kami perlu mengesahkan bahawa pesakit tersebut menghidap diabetes terlebih dahulu. Setelah diperiksa dan didapati tidak menghidap penyakit diabetes, maka ulser yang ada tidak layak untuk definisi itu. Syaratnya, pesakit itu perlu menghidap diabetes dahulu, barulah luka atau ulser itu layak dilabelkan sebagai diabetic foot ulcer,” hurainya mengenai ulser kaki bagi pesakit diabetes.
Beliau turut menjelaskan bahawa untuk menentukan tahap keterukan ulser bagi penghidap diabetes, hal tersebut boleh ditentukan melalui pemeriksaan klinikal berdasarkan Klasifikasi Wagner yang terbahagi kepada lima tahap (gred 0 hingga gred 5). Selain itu, terdapat juga pemeriksaan salur darah di bahagian kaki yang dikenali sebagai ankle-brachial systolic index (ABSI).

“Pegawai perubatan akan memeriksa pembuluh darah di bahagian kaki dan tekanan darah di bahagian lengan dan kaki. Kalau pembuluh darah itu sempit, maka kecenderungan untuk mendapat komplikasi ulser adalah lebih tinggi”, jelasnya.
Sementara itu, terdapat juga ujian bagi mengenal pasti tahap kehilangan deria rasa melalui ujian monofilamen. Ujian ini menggunakan dawai nipis yang tumpul dan mempunyai gred tekanan yang telah ditetapkan untuk dicucukkan ke 10 titik yang telah ditetapkan di bahagian kaki. Individu yang sihat akan memperoleh 10 markah, yakni merasai semua 10 titik yang telah dicucuk.
Bagi pesakit diabetes yang telah kekurangan deria rasa, kebiasaannya skor yang diperoleh ialah lapan dan ke bawah. Yang lebih teruk, terdapat pesakit yang memperoleh skor sebanyak lima dan ke bawah. Hal ini menjadikan kecenderungan pesakit tersebut untuk mendapat ulser adalah lebih tinggi.
Menurutnya lagi, terdapat dua rawatan yang digunakan untuk pesakit yang disahkan menghidap komplikasi ulser yang disebabkan oleh diabetes, iaitu rawatan pembedahan (amputasi) dan rawatan konservatif melalui pemberian antibiotik, pembunuh kuman dan sebagainya.
Beliau juga menegaskan bahawa proses pemotongan kaki atau amputasi mempunyai jenis ketinggian pemotongan yang telah ditetapkan dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Pegawai Perubatan Ortopedik akan menentukan paras amputasi dan hal tersebut dilakukan bukan sekadar melalui penilaian terhadap luka yang dialami. Misalnya, kulit luar pesakit kelihatan cantik, namun melalui ujian X-ray didapati bahawa tulang pada bahagian dalam sudah rosak. Jadi, tiada gunanya untuk dipotong pada bahagian hujung sahaja. Akhirnya, pesakit akan datang semula dan amputasi kedua harus dilakukan.
“Dalam situasi kedua misalnya, luka hanya terdapat di hujung kaki. Namun begitu, ujian ABSI mendapati bahawa pembuluh darah di bahagian lutut belakang sudah terlampau sempit dan perjalanan darah tidak akan baik. Hal tersebut amatlah merisikokan dan pada tahap tersebut, apa-apa kuman yang menjangkiti, tidak akan membawa kebaikan. Oleh hal yang demikian, kami menetapkan agar pemotongan anggota bermula di bawah lutut,” jelasnya lanjut.
Pada akhir sesi temu bual, beliau menegaskan bahawa saiz fizikal seseorang bukanlah penentu kepada kecenderungan untuk menghidap penyakit diabetes. Menurutnya, baik individu yang berbadan gemuk ataupun yang kurus, kedua-duanya cenderung untuk menghidap penyakit diabetes. Beliau turut menyatakan harapan agar penghidap diabetes tidak melengah-lengahkan masa untuk mendapatkan pemeriksaan awal sebelum keadaan menjadi lebih melarat.