Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang telah melancarkan PSN Trooperz On The Move Pusat Sains Negara (PSN) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak bersempena dengan penganjuran Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi (STI) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.
Menurut Pengarah PSN, Mismah Jimbun, dengan adanya PSN Trooperz On The Move ini, PSN akan dapat meluaskan capaian PSN ke seluruh pelosok negara bagi memberikan pengalaman unik tentang pusat sains kepada masyarakat.
PSN Trooperz On The Move ialah bas pameran PSN yang berkonsepkan amali (hands-on), hearts-on dan berfikir (minds-on) yang telah memulakan misinya sejak tahun 2007. Bas ini dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif yang bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memupuk pemikiran kreatif dan inovatif sekali gus merangsang minda ke arah pemikiran saintifik.
PSN juga diharapkan mampu membetulkan persepsi masyarakat berkaitan dengan sains selain menambah keyakinan masyarakat terhadap kepentingan bidang STI kepada pembangunan Malaysia Madani menerusi bas pemeran yang disediakan.
Tambahnya, objektif lain PSN Trooperz On The Move adalah untuk meningkatkan pengaksesan maklumat sekali gus meningkatkan tahap literasi sains rakyat Malaysia.
Bagi menambah baik perkhidmatan pembudayaan STI negara, PSN telah membangunkan bas pameran ini yang telah siap sepenuhnya pada Oktober 2022. Bas ini membolehkan PSN memenuhi permintaan program dan aktiviti yang semakin meningkat, terutamanya daripada pelbagai sekolah dan dalam kalangan komuniti.
Kredit gambar: Facebook Pusat Sains Negara Kuala Lumpur