Diterbitkan pada 7 Februari 2023, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Khas anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun turut diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Program ini berakhir di pekarangan Masjid Jabal Al A’ala Kampung Melayu Kaki Bukit, petang semalam.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf terpilih.

Menurut Pengarah JKN, YBrs. Dr. Ismuni Bohari dalam sesi taklimat sebelum bermulanya kayuhan, beliau menjelaskan bahawa sistem imunisasi badan pesakit kanser, terutamanya mereka yang sedang menjalani rawatan kemoterapi turut dipengaruhi oleh tahap kesihatan mental.

Kehidupan yang berkualiti merangkumi beberapa komponen penting, terutamanya pemakanan. Setiap individu digalakkan untuk makan makanan yang seimbang. Selain itu,  amalan melakukan aktiviti kecergasan, tidak merokok dan tidak minum minuman beralkohol juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser yang biasanya diwarisi secara genetik.

Tambahnya lagi, sambutan Hari Kanser Sedunia memberikan kesedaran akan bahayanya kanser yang semakin meningkat dan langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit ini. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah dengan menjalani ujian pengesanan awal untuk kanser prostat dan paru-paru yang lazimnya berlaku dalam kalangan lelaki dan kanser payudara yang sinonim dengan wanita.

Program seumpama ini bertujuan untuk memberikan sokongan moral kepada pesakit kanser agar tahap kesihatan mental mereka berada dalam keadaan yang baik. Hal ini adalah penting kerana tahap emosi yang negatif dikhuatiri mempengaruhi keseluruhan sistem imunisasi sekali gus menyebabkan mudarat.

Dalam program itu juga, beliau menyeru agar orang ramai memainkan peranan dalam memberikan sokongan moral kepada penghidap penyakit kanser supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang berkualiti.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan singgah menyantuni rumah asnaf di sekitar Kampung Melayu Kaki Bukit.

Pada masa yang sama, DYTM Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf di sekitar Kampung Melayu Kaki Bukit, iaitu Encik Mohamed Ali Mohad Rosid (77 tahun) yang tinggal bersama-sama lapan orang ahli keluarganya dan Puan Halimah Ibrahim (84 tahun) yang mempunyai masalah kesihatan seperti strok, asma, darah tinggi dan kolesterol. Baginda turut menyantuni Encik Jefri Zain (55 tahun) yang sakit terlantar di samping menanggung seorang sepupunya yang merupakan orang kurang upaya yang turut sakit terlantar. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM700, beras dan bahan makanan mentah sumbangan MAIPs daripada baginda.

Turut hadir mengiringi baginda dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi