4 Februari 2023, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut laporan keselamatan jalan raya yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kemalangan jalan raya telah mengakibatkan kira-kira 1.3 juta kematian di seluruh dunia pada setiap tahun, manakala 20 juta hingga 50 juta orang lagi mengalami kecederaan. Lebih separuh daripada jumlah kematian dan kecederaan ini melibatkan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal bersama-sama penumpang mereka.

Statistik menunjukkan bahawa golongan muda yang berumur antara lima tahun hingga 29 tahun amat terdedah kepada kemalangan di jalan raya. Kajian oleh WHO juga mendapati bahawa negara membangun melaporkan kadar kecederaan lalu lintas jalan raya yang lebih tinggi, manakala 93 peratus kematian direkodkan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Hampir 30 peratus daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkuasa beroda dua dan tiga seperti motosikal, moped, skuter dan basikal elektrik (e-basikal). Laporan tersebut juga menyatakan bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol atau bahan psikoaktif lain menjadi faktor risiko utama bagi kemalangan dan kecederaan di jalan raya.

Di samping itu,  faktor risiko kedua terbesar berlakunya kemalangan dan kecederaan di jalan raya ialah tidak menggunakan topi keledar motosikal, tali pinggang keledar, dan penahan kanak-kanak (child restraint).

Rentetan itu, WHO telah melancarkan manual yang telah dikemas kini untuk membantu penggubal dasar menamatkan bencana kematian dan kecederaan lalu lintas jalan raya yang melibatkan motosikal dan kenderaan berkuasa dua dan tiga roda. Garis panduan global yang bertajuk Powered Two-and Three-Wheeler Safety: A Road Safety Manual for Decision-Makers and Practitioners ini telah dikeluarkan pada Oktober 2022.

Di Asia Tenggara, kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng kenderaan beroda dua dan tiga menyumbang sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya. Di Thailand dan Kemboja, kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 73 peratus dan 74 peratus daripada statistik kematian pada 2016.

Sementara itu, angka rasmi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menunjukkan dari tahun awal tahun 2001 hingga Ogos 2021, sebanyak 79 916 pengguna motosikal terbunuh di Malaysia. Sehingga tahun tersebut juga, tujuh daripada 10 kematian di jalan raya melibatkan pengguna motosikal dan hal ini menjadikan Malaysia menghampiri Thailand dalam statistik kadar kematian terburuk di dunia bagi penunggang motosikal.

Dalam satu kajian terhadap pengguna jalan raya oleh penyelidik dari Universiti Monash, pemerhatian yang dilakukan di tujuh lokasi lapangan terpilih di sekitar Lembah Klang mendapati bahawa majoriti penunggang dewasa dan pembonceng memakai topi keledar, namun sebahagian besar daripanya tidak mengikat topi keledar dengan betul. Kajian tersebut juga mendapati hanya 30 peratus kanak-kanak yang membonceng motosikal memakai topi keledar.

Antara cara yang paling berkesan untuk mengurangkan keterukan dan kecederaan penunggang dan pembonceng motosikal apabila berlakunya kemalangan termasuklah penggunaan topi keledar yang sesuai dan pemakaiannya dengan betul.

Di Malaysia, undang-undang topi keledar telah diperkenalkan di Malaysia seawal tahun 1973. Undang-undang ini mewajibkan semua pengguna motosikal (termasuklah penunggang dan pembonceng) untuk memakai topi keledar apabila berada di jalan raya. Kompaun maksimum berjumlah RM300 di bawah Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 boleh dikenakan atas kesalahan tidak memakai topi keledar semasa menunggang.

Undang-undang ini juga mewajibkan topi keledar dipasang dengan selamat serta diikat mengikut cara yang ditetapkan oleh pengeluar topi keledar. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi kumpulan agama yang memakai penutup kepala seperti pemakaian serban oleh orang Islam atau Sikh.

Penggunaan topi keledar telah terbukti dapat mengurangkan kebarangkalian kecederaan kepala, muka dan otak dalam kalangan penunggang motosikal. Selain mengurangkan kebarangkalian kecederaan maut dan mencegah kecederaan serius dalam kemalangan, undang-undang pemakaian topi keledar ini dilaksanakan atas sebab yang kukuh.

Antara sebab utama pemakaian memakai topi keledar semasa menunggang motosikal dan basikal termasuklah:

Perlindungan Cuaca

Keadaan cuaca yang buruk boleh mengancam keselamatan apabila menunggang motosikal di jalan raya. Pemakaian topi keledar akan menghalang hujan daripada terkena pada muka dan mata yang akan menyebabkan penunggang mengalihkan perhatian dan menjejaskan penglihatan.

Pengurangan Bunyi Angin

Angin kencang bukan sahaja boleh mengganggu penunggang dan pembonceng, namun boleh menjejaskan keselamatan. Tanpa topi keledar, angin yang bertiup akan menyebabkan gangguan yang menyakitkan dan mengurangkan keupayaan untuk mendengar suasana yang berlaku di sekeliling. Pendengaran ialah deria yang penting untuk keselamatan motosikal dan topi keledar yang sesuai akan membantu mengekalkannya.

Perlindungan bagi Rambut Panjang

Bagi penunggang yang berambut panjang, anda mungkin tidak menyedari bahawa rambut itu boleh menjadi risiko kepada keselamatan ketika menunggang motosikal. Sekiranya tidak memakai topi keledar, rambut boleh merebak ke muka yang bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan, malah berpotensi menghalang penglihatan penunggang dan boleh menyebabkan kemalangan.

Memberikan Teladan yang Baik

Dengan sentiasa memakai topi keledar, anda sebenarnya boleh memberikan impak yang positif kepada penunggang lain, terutamanya bagi golongan muda atau yang baru menceburi gaya hidup bermotosikal. Hal ini adalah penting buat penunggang muda dan baharu untuk memahami bahawa penunggang motosikal yang berpengalaman dan mahir sentiasa memakai topi keledar.

Memastikan Pandangan yang Jelas

Selain melindungi muka daripada bendasing seperti ranting, serpihan objek dan serangga semasa anda menunggang motosikal, topi keledar tertentu juga boleh melindungi daripada silau matahari. Banyak topi keledar moden dilengkapi dengan visor, sama ada yang berwarna atau yang menawarkan beberapa jenis perlindungan silau yang lain. Hal ini sekali gus membantu dalam memastikan penglihatan penunggang jelas dan mengelakkan diri daripada berlakunya kemalangan.

Selain kesusahan dan penderitaan yang dialami disebabkan oleh kecederaan akibat kemalangan jalan raya, mangsa dan keluarga juga terpaksa menanggung beban ekonomi yang berat melalui kos rawatan kecederaan mahupun akibat kehilangan produktiviti mereka yang terkorban atau kurang upaya. Secara amnya, keilatan akibat kemalangan jalan raya memberikan kesan serius kepada ekonomi negara yang menanggung sebanyak tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahunan akibatnya.

Penunggang dan pembonceng motosikal dinasihatkan memakai topi keledar yang mempunyai logo SIRIM dan memastikam tali dipasang serta diikat dengan kemas. Perlu diingatkan bahawa kanak-kanak mempunyai keperluan topi keledar yang khas.

Walaupun anda boleh membeli pakaian anak anda dengan saiz yang lebih besar daripada yang dipakainya, amalan ini tidak merangkumi pemilihan topi keledar bagi kanak-kanak. Topi keledar haruslah muat dengan sempurna dan hendaklah dipastikan bahawa apabila topi keledar itu diikat dan diketatkan, topi keledar tersebut tidak boleh bergerak dari sisi ke sisi atau dari depan ke belakang. Dahi anak juga hendaklah ditutup dengan betul untuk memastikan bahagian tersebut dilindungi.

 

Dr. Suzielah Rahmad ialah mantan pelajar Doktor Falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.