Oleh Firdaus Mul
2 Februari 2023, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 15 peratus rakyat Malaysia dianggarkan menghidap penyakit buah pinggang pada pelbagai peringkat dan data ini perlu dipandang serius. Hal ini dikatakan demikian kerana kekurangan kesedaran terhadap penjagaan buah pinggang akan mengundang kepada kegagalan fungsi buah pinggang tersebut. Jika buah pinggang seseorang itu mengalami masalah, maka secara tidak langsung akan menjejaskan produktiviti seharian individu tersebut.

Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Madya Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan.

Oleh yang demikian, kesedaran terhadap kesihatan dan penjagaan buah pinggang perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Menyentuh perihal kesihatan buah pinggang, rancangan Selamat Pagi Malaysia telah menampilkan seorang Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Madya Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan bagi mengupas topik “Penyakit Buah Pinggang: Gejala, Peringkat dan Pencegahan”.

Beliau membuka ruang perkongsiannya dengan memperincikan fungsi utama buah pinggang. Menurut beliau, buah pinggang berfungsi sebagai tempat untuk mengeluarkan bahan perkumuhan.

“Dalam badan manusia, terdapat banyak toksin yang berkumpul dan perlu dikeluarkan. Sekiranya buah pinggang tidak berjaya mengeluarkan air kencing tersebut, maka toksin itu akan meningkat dan menyebabkan kerosakan lain pada buah pinggang,” jelasnya.

Selain itu, buah pinggang juga berfungsi untuk mengeluarkan air dari dalam badan. Jika buah pinggang tidak berfungsi, maka kandungan air di dalam badan lebih banyak dan berisiko memasuki paru-paru. Terdapat juga fungsi buah pinggang yang lain dan membolehkan seseorang itu menggunakan vitamin D di dalam badan serta meningkatkan kadar hemoglobin.

YBrs. Profesor Madya Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan (kiri) mengupas topik “Penyakit Buah Pinggang: Gejala, Peringkat dan Pencegahan” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa punca utama yang menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang adalah dipengaruhi oleh tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti ubat penahan sakit juga boleh mengundang penyakit buah pinggang, terutamanya bagi golongan yang menghidap penyakit gout dan mendapatkan rawatan suntikan. Pengambilan suntikan tersebut dalam jangka masa panjang boleh mengakibatkan masalah buah pinggang.

Di samping itu, faktor genetik turut menjadi punca berlakunya penyakit ini. Walau bagaimanapun, faktor genetik berada dalam peratus yang sangat rendah.

Kebanyakan ubat, sama ada ubat-ubatan moden ataupun ubat-ubatan tradisional mempunyai bahan aktif. Bahan aktif ini biasanya mempunyai manfaatnya, namun sudah semestinya berisiko dan memberikan kesan sampingan, misalnya logam berat dalam bahan aktif itu boleh menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan buah pinggang.

Beliau melanjutkan lagi perkongsiannya dengan mengupas perihal jenis penyakit buah pinggang. Menurutnya, sekiranya seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang, mereka berisiko memiliki masalah penyakit yang lain, misalnya kencing manis, darah tinggi, keradangan atau mempunyai penyakit autoimun seperti penyakit lupus eritematosus sistemik.

Beliau juga menyatakan bahawa kaedah untuk mengetahui seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang adalah melalui ujian darah dan kaedah imbasan. Kebanyakan individu yang mengalami masalah buah pinggang biasanya tidak mengalami apa-apa simptom sehingga peratusan fungsi buah pinggang mereka kurang daripada 15 peratus atau 10 peratus.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar pemeriksaan awal melalui ujian darah dilakukan pada setiap tahun, lebih-lebih lagi bagi golongan yang berisiko tinggi seperti individu yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi atau mempunyai sejarah keluarga yang mengalami masalah buah pinggang.

Golongan ini perlu melakukan ujian darah setahun sekali atau enam bulan sekali bergantung pada arahan doktor yang merawat. Bagi golongan yang sihat pula, mereka dinasihatkan agar membuat ujian darah dalam tempoh setahun ataupun dua tahun sebagai langkah mencegah penyakit buah pinggang.

Di akhir perkongsian, beliau menyarankan agar orang ramai bersederhana dalam pemakanan dan golongan yang mengalami masalah buah pinggang seharusnya mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi protein dan potasium.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.