2 Februari 2023, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2023. Penguatkuasaan akta tersebut menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah yang membabitkan hidupan liar termasuklah menyimpan, memburu atau menyeludupnya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataan medianya semalam, penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar perlu ditingkatkan kerana kegiatan haram itu adalah satu daripada kesalahan serius yang menyebabkan hidupan liar terancam, malah dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan dan perlu dihentikan.

Melalui pindaan itu, kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta A1646, iaitu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan hukuman denda hingga RM1 juta dan dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun jika disabitkan kesalahan.

Peningkatan kadar penalti ini memberikan mesej yang jelas kepada penyeludup agar menyedari kesalahannya dan berhenti daripada menjalankan aktiviti mereka. Selain bersifat mencegah, kenaikan kadar penalti ini juga untuk memastikan hidupan liar terus kekal untuk generasi akan datang. PERHILITAN juga bertekad bagi meneruskan operasi penguatkuasaan bersepadu melalui pelaksanaan Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) di seluruh Semenanjung Malaysia seiring dengan penguatkuasaan Akta 716.

Menerusi BP3, program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan dilaksanakan dan melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan hidupan liar.

Selain itu, Wildlife Crime Bureau (WCB) yang ditubuhkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646 di samping pengukuhan WCB di bawah PERHILITAN yang turut membantu dalam mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan akta tersebut bagi konservasi hidupan liar.

BP3 sudah diperkukuh melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), orang asli dan orang awam sebagai renjer hidupan liar bagi membantu melaksanakan tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan dalam kawasan perlindungan serta hutan simpanan kekal di seluruh Semenanjung Malaysia untuk menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram.

Sebarang aduan dan maklumat berkaitan dengan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan dalam laman sesawang PERHILITAN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.