30 Januari 2023, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kembang bugang atau Clerodendrum calamitosum L. ialah tumbuhan renek daripada famili Lamiaceae (Labiatae). Spesies yang boleh membesar dengan ketinggian antara 2.5 meter hingga tiga meter ini boleh dijumpai di Malaysia dan Indonesia.

Daun kembang bugang berstruktur ringkas, tersusun secara bertentangan, berbentuk elips hingga bujur, bergerigi di sepanjang tepi daun dengan ukuran antara tiga sentimeter hingga 15 sentimeter panjang dan 1.5 sentimeter hingga lapan sentimeter lebar. Bunga putihnya yang beraroma dengan jambak bunga jenis sim yang terdapat dalam kedudukan aksil. Buahnya pula jenis drup, berbentuk bulat dan berukuran kira-kira lima milimeter hingga lapan milimeter lebar.

Daun pokok kembang bugang.

Istilah Clerodendrum berasal daripada perkataan Greek, iaitu kleros yang bermaksud peluang, manakala dendron bermaksud pokok. Perkataan es calamitosum pula membawa maksud merosakkan atau menyebabkan kerugian. Namun begitu, tidak dapat dipastikan mengapa spesies ini dinamakan dengan nama yang sedemikian.

Terdapat pelbagai nama tempatan atau nama vernakular selain nama dalam bahasa Inggeris bagi spesies ini. Antara nama menarik yang lain bagi spesies tumbuhan ini termasuklah melur susun, kechi beling, kaji beling dan white butterfly.

Bunga pokok kembang bugang yang kelihatan seperti rama-rama putih.

Pokok kembang bugang ialah pokok yang sangat mudah tumbuh di kawasan tanah rendah tanpa sebarang penjagaan. Satu daripada keistimewaan pokok ini ialah seluruh pokoknya mempunyai potensi atau nilai ubat-ubatan dan telah banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

Pertumbuhan pokok kembang bugang juga pantas dan mengambil masa yang sangat cepat untuk berbunga. Sifat ini seumpama spesies pokok tahunan sedangkan pokok kembang bugang ialah spesies pokok perenial. Pokok ini juga sangat sesuai dijadikan tanaman hiasan kerana morfologi bunganya yang cantik dan rimbun.

Pokok bunga kembang bugang yang merimbun.

Yang menariknya, bahagian akar spesies tumbuhan herba ini sering digunakan dalam perubatan tradisional. Antara kegunaan tumbuhan ini termasuklah akarnya boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular.

Daun pokok kembang bugang juga boleh dikunyah dan air kunyahan tersebut diminum, manakala hampas daunnya ditampal pada tempat gigitan. Selain itu, daunnya juga boleh direbus dan air rebusan tersebut diminum untuk mengubati penyakit batu karang dan buah pinggang.

Daunnya juga digunakan untuk menghentikan pendarahan, merawat demam, kencing bernanah, buasir dan gigitan serangga. Bahan kimia yang terkandung dalam spesies tumbuhan ini ialah saponin, flavonoid, polifenol, alkaloid dan kalium. Beberapa rujukan dan kajian terdahulu juga menyebutkan bahawa C. calamitosum mempunyai bahan antidiabetes, anti hipersensitif dan bersifat sedatif.

Anopheles sp. ialah vektor bagi penyakit malaria dan filariasis. Oleh sebab itu, racun serangga alternatif yang lebih efektif diperlukan bagi mengatasinya. Satu daripada kaedah tersebut ialah dengan menggunakan daun pokok kembang bugang.

Pokok kembang bugang juga mempunyai keupayaan bakteriostatik, yakni mampu melibatkan membasmi bakteria, termasuklah bakteria patogen manusia seperti Enterococcus faecium, Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoniae, Acinetobacter baumannii, Pseudomonas aeruginosa dan beberapa spesies Enterobacter. Aktiviti antibakteria didapati bergantung pada pelarut yang digunakan dalam pengekstrakan, spesies bakteria, kepekatan ekstrak dan bahagian tumbuhan yang digunakan.

Pokok kembang bugang membiak melalui keratan batang. Spesies ini boleh tumbuh di kawasan yang mempunyai pendedahan matahari sekurang-kurangnya empat jam sehari.

Kebersihan peralatan juga amat penting untuk mengelakkan jangkitan semasa keratan batang dilakukan. Keratan batang perlu dicelupkan ke dalam serbuk hormon dengan kedalaman antara 10 sentimeter hingga 15 sentimeter untuk mempercepatkan pertumbuhan akar sebelum proses penanaman. Tumbuhan ini juga memerlukan tanah yang lembap dan harus kerap disiram.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.