29 Januari 2023, 23:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Kumpulan Cak Cak Bum dengan aplikasi digitalnya yang dinamakan AR Batu Belah telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori aplikasi realiti terimbuh (AR), manakala kumpulan Pahlawan Laut Dalam yang mempertaruhkan aplikasi digitalnya yang dikenali sebagai Pendekar Lautan telah menjuarai kategori aplikasi permainan digital dalam Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023.

Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan ini yang telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), petang tadi menyaksikan para pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500 berserta sijil penyertaan.

Kumpulan Cak Cak Bum dinobatkan sebagai juara bagi kategori aplikasi realiti terimbuh.

 

Kumpulan Pahlawan Laut Dalam menjuarai Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 bagi kategori aplikasi permainan digital.

Dalam ucapan alu-aluan majlis, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTHM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norzila Othman yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, beliau sebagai ahli akademik melihat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah organisasi yang mempunyai pelbagai sumber ilmu, bukan sahaja membantu masyarakat dalam memacu bahasa Melayu ke arah yang lebih tinggi, malah kerjasama yang dilakukan antara DBP dengan UTHM ini adalah suatu yang berlainan daripada kebiasaan.

“Pemikiran para pelajar UTHM bukan sahaja berdasarkan buku yang dibekalkan oleh DBP tetapi mereka mempunyai suatu idea yang lain. Kami sangat mengalu-alukan kerjasama seperti ini diteruskan bagi memperlihatkan fungsi DBP terhadap pihak universiti bukan sekadar pembekal bahan rujukan, malah boleh mengadakan kerjasama dalam pelbagai bentuk yang lain,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai kemudahan yang boleh diguna pakai oleh pihak DBP di FSKTM, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, sains komputer dan multimedia. Beliau juga berpendapat bahawa dengan adanya kerjasama seperti program ini lagi pada masa akan datang, pelbagai manfaat lain akan dapat diperoleh.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FSKTM kerana julung-julung kalinya menjayakan hasrat DBP untuk menjalinkan kerjasama melalui pertandingan digital.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTHM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norzila Othman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohammed.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohammed ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023.

Menurut beliau, tuntutan kehidupan pada masa ini sememangnya memerlukan kebijaksanaan setiap individu dalam mengadaptasi dan mengoptimumkan penggunaan teknologi selari dengan perkembangan era Revolusi Perindustrian 4.0. Beliau juga mengharapkan bahawa program seperti ini digerakkan di universiti bagi menyebarkan ilmu melalui program digital.

Tambah beliau, pelaksanaan program seumpama ini perlu dikembangkan bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan idea baharu walaupun hal itu merupakan suatu tanggungjawab yang berat bagi seorang pelajar.

“Program pada hari ini adalah satu daripada program daya kreatif yang perlu dikembangkan oleh para pelajar di universiti. Projek rintis ini diharapkan dapat diteruskan dan dikembangkan dengan melibatkan universiti lain di negeri Johor. Jika mendapat sambutan yang memberangsangkan, program ini boleh dilaksanakan di negeri lain sehinggalah ke peringkat kebangsaan,” ulasnya.

Jelasnya lagi, lima bahan terbitan DBP yang didigitalkan secara umumnya kelihatan mudah, namun para pelajar telah berusaha dan berdaya kreatif untuk menterjemahkan bahan tersebut dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya demi mengembangkan bahasa Melayu dalam teknologi.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa hasil kerja yang dilakukan oleh para pelajar dalam pertandingan ini yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya mampu memberikan sumber ekonomi. Hal ini juga membuktikan bahawa bahasa Melayu itu tidak ketinggalan dan perlu diperluaskan seiring dengan fungsinya sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohammed merasmikan Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 di Pentas Utama, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM.

Mengakhiri ucapan perasmian, beliau mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sama ada daripada pihak UTHM ataupun DBP.

Berkenaan dengan laporan penjurian pula, Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof selaku Ketua Juri Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 memaklumkan bahawa secara keseluruhannya para pelajar telah menunjukkan semangat dan komitmen yang tinggi dalam membangunkan aplikasi dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan walaupun dalam tempoh yang terhad. Beliau juga menyarankan agar usaha ini diteruskan bagi menghasilkan produk digital yang lebih baik dan mampu menembusi pasaran negara dan global.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik bagi membolehkan aplikasi ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat, terutamanya kepada golongan sasar, iaitu golongan kanak-kanak. Penambahbaikan itu lebih menjurus kepada kekonsistenan dan keseragaman antara muka pengguna, penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat serta para pelajar disarankan untuk membuat kajian pasaran sebelum mula membangunkan sesuatu aplikasi.

Kajian pasaran ini adalah penting bagi membantu para pelajar dalam menghasilkan aplikasi yang unik dan berbeza dengan aplikasi lain yang telah dibangunkan dan sedia ada dalam pasaran. Melalui cara ini, pelajar akan menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif.

Di akhir perkongsian laporan penjurian tersebut, beliau mengakui bahawa para peserta yang menyertai pertandingan ini mempunyai potensi besar. Jika tumpuan diberikan secara berfokus, para pelajar ini boleh berada pada tahap yang lebih jauh dalam bidang pendigitalan.

Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof selaku Ketua Juri Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 ketika membentangkan laporan penjurian.

Majlis ini diakhiri dengan sesi pengumuman pemenang Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023, diikuti dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada mentor FSKTM, UTHM serta pertukaran cenderamata antara kedua-dua penganjur pertandingan.

Sesi penyerahan cenderamata kepada Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTHM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norzila Othman selaku wakil rasmi Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohammed.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan FSKTM, UTHM, YBrs. Ts. Dr. Azizul Azhar Ramli; Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan PTTA, UTHM, Puan Siti Afifah Che Ismail; Pengarah Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023, YBrs. Profesor Madya Dr. Noorhaniza Wahid; Pengarah DBP Wilayah Selatan, Encik Mohd Riduwan Wahab; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Encik Abdul Ghani Abu; barisan juri; barisan pengurusan FSKTM; jawatankuasa pelaksana Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023; para pelajar; dan tetamu undangan yang lain.

Para peserta yang menyertai Pertandingan Inovasi Digital DBP-UTHM 2023 bergambar bersama-sama pihak pengurusan tertinggi DBP dan UTHM sebagai tanda kenangan.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN INOVASI DIGITAL DBP-UTHM 2023 KATEGORI APLIKASI REALITI TERIMBUH

KEDUDUKAN NAMA KUMPULAN NAMA APLIKASI NAMA MENTOR HADIAH
PERTAMA CAK CAK BUM AR BATU BELAH PROFESOR TS. DR. MOHD FARHAN MOHD FUDZEE WANG TUNAI RM1500 BERSERTA SIJIL
KEDUA CUCU TOK BAH SIAPA KAWAN TOK BAH? DR. CHE SAMIHAH CHE DALIM WANG TUNAI RM1300 BERSERTA SIJIL
KETIGA PARI-PARI GIGI KARATA TS. DR. MOHD NORASRI ISMAIL WANG TUNAI RM1000 BERSERTA SIJIL
KEEMPAT KAWAN BAHARU SALLY KEMBARA SALLY TUAN HAJI AZIZAN ISMAIL WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL
KELIMA B2 AR BATU BELAH DR. NORHALINA SENAN WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL
KEENAM SINERGI KAD AR: GIGI EPIK ENCIK MUHAMMAD FAKRI OTHMAN WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL

KEPUTUSAN PERTANDINGAN INOVASI DIGITAL DBP-UTHM 2023 KATEGORI APLIKASI PERMAINAN DIGITAL

KEDUDUKAN NAMA KUMPULAN NAMA APLIKASI NAMA MENTOR HADIAH
PERTAMA PAHLAWAN LAUT DALAM PENDEKAR LAUTAN PROFESOR MADYA DR. NOORHANIZA WAHID WANG TUNAI RM1500 BERSERTA SIJIL
KEDUA CUCU TOK BAH MANA ANAS? DR. EZAK FADZRIN AHMAD SHAUBARI WANG TUNAI RM1300 BERSERTA SIJIL
KETIGA F4 GIGIKU DR. RAHAYU A. HAMID WANG TUNAI RM1000 BERSERTA SIJIL
KEEMPAT PEMBANTU TOK BAH DI MANAKAH KAWANKU? DR. NORAZIAHTULHIDAYU KAMARUDIN WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL
KELIMA CENDEKIAWAN TERUNGGUL PENGEMBARAAN GIGI PUAN SURIAWATI SUPARJOH WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL
KEENAM DR. KAVITI TOLONG SAYA DR. GIGI! DR. NORHANIFAH MURLI WANG TUNAI RM700 BERSERTA SIJIL

Kredit gambar: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.