23 Januari 2023, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ahli astronomi Malaysia dari dalam dan luar negara telah berkumpul bersama-sama dalam Global Malaysian Astronomers Convention 2023 (GMAC2023) sejak 16 Januari 2023 hingga 18 Januari 2023 yang lalu di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur untuk membincangkan dan menyumbang idea tentang perkembangan penyelidikan astronomi serta pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Malaysia.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh GMAC2023, saintis di Malaysia yang bekerja dalam bidang astronomi dan astrofizik sangat banyak dan terdapat dalam kalangan mereka adalah sebahagian daripada kerjasama antarabangsa dan berpangkalan di pelbagai organisasi terkemuka antarabangsa seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Princeton University, Oxford University, Max Planck Institute di Jerman, University of Tokyo serta universiti tempatan utama termasuklah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Selain persidangan tersebut, terdapat juga acara umum lain yang berlangsung di Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur yang membolehkan ahli astronomi profesional dapat berinteraksi dengan ahli astronomi muda, pelajar serta orang awam.

Hasil daripada persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu, sebuah pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan hala tuju pembangunan penyelidikan dan pendidikan astronomi di Malaysia untuk tempoh lima tahun hingga 10 tahun akan dibentuk.

Selain itu, hasil persidangan tersebut juga memutuskan perkara lain seperti penyusunan direktori ahli astronomi Malaysia, pembangunan bahan pembelajaran dalam talian dan pembentukan pertubuhan atau pusat astronomi negara yang akan menjadi sebuah pusat yang memfokuskan penyelidikan dan pendidikan astronomi di negara ini.

Menurut pensyarah dan penyelidik di Australian National University merangkap Pengerusi Jawatankuasa Saintifik GMAC2023, YBrs. Profesor Madya Yuan-Sen Ting, modul pembelajaran astronomi pelbagai bahasa secara dalam talian menerusi FrogAsia akan dilaksanakan. Tambah beliau:

Modul ini dibuat untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah serta disediakan secara percuma. Kami berharap agar bidang astronomi ini akan memberikan inspirasi kepada generasi muda supaya dapat membuka minda mereka sekali gus meneroka dunia sains.

Pada masa yang sama, pelbagai pameran berkaitan dengan seni angkasa, peluang pendidikan dalam perubahan iklim, astronomi dan sains teknologi angkasa diadakan sepanjang persidangan ini berlangsung.

Pelaksanaan GMAC2023 pada kali ini ditaja oleh YTL Foundation, FrogAsia dan Autocity Penang. Penganjur juga telah bersama-sama Science Cafe KL yang menjadi tuan rumah bagi sesi secara dalam talian yang melibatkan perkongsian secara langsung dan sesi soal jawab dengan ahli astronomi Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.