17 Januari 2023, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Keadaan ekonomi dunia pada tahun ini dijangkakan lebih mencabar disebabkan oleh krisis tenaga dan keterjaminan makanan menjadi antara ancaman utama ekonomi, khususnya bagi negara membangun. Prospek sektor agromakanan negara diramalkan akan berhadapan dengan cabaran, terutamanya dalam mengekalkan pertumbuhan perdagangan susulan daripada peningkatan ketidaktentuan geopolitik dan penyusutan eksport negara.

Demikian antara inti pati dalam ucaptama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Tuan Haji Mohamad Sabu dalam Majlis Amanat Menteri MAFS dengan tema “Kemampanan Sektor Agromakanan Negara Teras Mengemudi Cabaran Krisis Global”, di Wisma Tani, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan melalui MAFS sentiasa prihatin dengan isu bekalan makanan dan melaksanakan pelbagai langkah intervensi untuk membantu mengawal harga dengan menstabilkan bekalan. Tema yang dipilih ini ialah manifestasi terhadap peranan MAFS sebagai penjamin bekalan makanan negara agar sentiasa mencukupi dan tersedia kepada rakyat Malaysia.

Keterjaminan makanan adalah antara perkara yang menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan dan seiring dengan objektif Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Susulan daripada itu, MAFS menggariskan lima hala tuju dan fokus utama pada tahun ini bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara. Pertama, memperkasakan industri akuakultur dengan menyasarkan peningkatan hasil ikan daripada aktiviti akuakultur kepada 60 peratus. Kedua, memperluas penternakan lembu secara fidlot bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan dan eksport supaya sasaran pengeluaran daging tempatan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50 peratus daging menjelang tahun 2025. Ketiga, memulakan usaha penanaman jagung bijian bagi mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.

Di samping itu, satu perancangan dan tindakan yang tersusun perlu dilakukan segera bagi mencukupkan bekalan makanan di dalam negara dan memastikan rakyat mempunyai akses kepada semua jenis nutrien yang diperlukan. Kementerian juga akan meningkatkan pelibatan belia dalam sektor agromakanan dan pertanian pintar selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat. Hala tuju yang kelima pula ialah memperkasakan institut latihan pertanian bagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dalam bidang teknologi pertanian, penyelidikan dan pembangunan serta pertanian moden selaras dengan hasrat negara untuk membentuk pekerja mahir pertanian.

“Warga kementerian diseru untuk meneruskan amalan budaya berintegriti tinggi, amanah dan cekap yang merupakan etika kerja penting kepada pencapaian hasil kerja berkualiti tinggi. Oleh itu, hala tuju ini diharapkan dapat disokong dengan perubahan sikap dan mentaliti yang ditonjolkan oleh warga kementerian dan golongan sasar.”

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha MAFS, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid dan pegawai kanan kementerian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.