Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKini, dunia berada dalam era kemajuan sains dan teknologi yang mendominasi kehidupan manusia dalam setiap aspek termasuklah sosial, hiburan, pekerjaan dan sebagainya. Kebergantungan terhadap teknologi telah memudahkan urusan seharian manusia. Teknologi boleh digunakan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.
Kecerdasan buatan (A.I) adalah antara teknologi baharu yang kian berkembang penggunaannya dalam dunia moden. Bagaimanakah teknologi A.I ini berfungsi? Secara saintifiknya, terdapat mekanisme pembelajaran mesin (machine learning) dalam teknologi A.I yang memberikannya kemampuan untuk belajar dan memperbaik kesalahan sendiri daripada pengalaman tanpa diprogramkan secara manual oleh manusia.
Semasa proses pembelajaran, teknologi A.I melakukan pemerhatian terhadap data terkumpul, kemudiannya mencari corak dan akhirnya membuat keputusan pada masa hadapan berdasarkan hasil akhir sebelum ini.
Kelebihan pembelajaran mesin dalam teknologi A.I ini ialah membolehkan analisis data yang berjumlah besar dapat dilengkapkan dalam jangka masa yang singkat. Teknologi A.I juga telah diterapkan dalam pelbagai jenis industri seperti kesihatan, kewangan, perniagaan dan beberapa sektor utama lain.
Industri seni dan kreatif juga tidak terkecuali dengan kehadiran teknologi A.I. Walaupun teknologi ini kelihatan memberikan manfaat kepada manusia, namun sebahagian besar masyarakat khuatir dan takut dengan kemampuannya yang mampu menyingkirkan manusia sebagai tenaga kerja dalam industri. Sama seperti kebanyakan sektor yang lain, teknologi A.I mendapat tentangan yang cukup besar daripada penggiat seni dan pencinta seni.
Sebelum ini, satu perdebatan hangat telah berlaku dalam media sosial berkenaan dengan keupayaan teknologi A.I untuk menghasilkan karya seni. Seperti yang kita sedia maklum, karya seni ialah suatu karya yang dihasilkan oleh individu melalui penerapan kumpulan idea, konsep dan teknik untuk tujuan estetik atau seni. Jadi, adakah karya ini boleh dikatakan sebagai karya seni jika dihasilkan oleh teknologi A.I yang bukannya seorang manusia?
Hal ini bertambah hangat dengan tersiarnya sebuah poster ilustrasi yang digunakan sebagai tanda protes untuk menolak penggunaan teknologi A.I. Namun begitu, tidak semua penggiat dan pencinta seni yang menyokong sangkalan tersebut. Bagi mereka, teknologi A.I masih mempunyai peluang yang boleh ditonjolkan dalam industri seni jika dilihat dari perspektif yang berbeza.
Oleh sebab itu, pelbagai reaksi dan pandangan diutarakan oleh masyarakat bagi menyokong ataupun menentang penggunaan teknologi A.I. Penerimaan masyarakat terhadap teknologi tersebut masih berbelah bahagi disebabkan oleh timbulnya beberapa isu yang berkaitan dengan industri seni.
Pertama, kita melihat dari sudut masyarakat yang menentang teknologi ini. Mereka sering kali mengutarakan isu yang tidak asing dalam dunia seni jika berkaitan dengan teknologi, iaitu adakah karya yang dicipta oleh teknologi A.I boleh diiktiraf sebagai seni?
Secara teknikalnya, karya yang dicipta oleh teknologi A.I ialah seni. Hal ini dikatakan demikian kerana seni bersifat bebas dan terbuka, yakni tidak terikat dengan sesuatu peraturan. Walau bagaimanapun, hal yang menjadi kontroversi adalah kerana teknologi A.I. itu sendiri bukanlah seorang manusia.
Jika difikirkan, artis sebenar bagi karya yang dihasilkan oleh teknologi A.I bukanlah sebuah komputer tetapi ahli jurutera kreatif yang telah berusaha menggubah susunan matematik secara terperinci sehingga mampu mengarahkan komputer itu untuk menghasilkan karya yang penuh berseni.
Namun begitu, seperti yang berlaku kepada pelbagai inovasi kreatif yang lain, sudah pastinya pendapat ini menerima banyak bantahan. Penggiat seni masih belum dapat menerima adaptasi baharu ini dan menganggap bahawa teknologi A.I telah melanggar etika semula jadi dalam dunia seni kreatif.
Kedua, timbul juga persoalan siapakah yang memiliki hak cipta karya yang dihasilkan oleh teknologi A.I itu? Jika pengguna menggunakan program penjana teknologi A.I untuk menghasilkan seni, adakah seni tersebut menjadi milik pengguna penjana itu atau yang menciptakan program tersebut? Pada masa yang sama, jika output yang dimasukkan akan digubah oleh algoritma A.I dan bukan dilakukan oleh manusia, bolehkah pencipta algoritma A.I tersebut memperakui hak cipta terhadap seni tersebut?
Di bawah peraturan hak cipta, seseorang individu boleh memperakui hak cipta secara sah jika karya tersebut dihasilkan daripada kerja, kemahiran dan usaha individu tersebut. Perkara ini bagi memastikan sesiapa sahaja yang menghasilkan seni dapat berkarya dan mendapatkan keuntungan daripada hasil karya tersebut. Peraturan hak cipta ini adalah untuk menggalakkan lebih banyak orang untuk berkarya dalam industri seni kreatif.
Pada hakikatnya, seni A.I melanggar peraturan ini. Teknologi A.I menggunakan algoritma yang membenarkan pengguna membuat pilihan secara bebas, memproses dan menghasilkan apa-apa sahaja tanpa memerlukan campur tangan manusia. Dengan kata lain, A.I bukan lagi alat untuk membantu manusia menghasilkan seni tetapi satu daripada inovasi yang mampu membuat keputusan sendiri dalam menghasilkan sesebuah seni.
Baru-baru ini, berlaku satu kejadian yang melibatkan isu hak cipta apabila seorang individu telah menggunakan seni teknologi A.I untuk menghasilkan sebuah hasil seni yang begitu mirip dengan gaya seni seorang artis terkenal daripada Korea. Hal ini menjadi kontroversi kerana seni teknologi A.I tersebut dibuat selepas tiga hari kematian beliau. Hal ini sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan peminat beliau yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut merupakan satu bentuk eksploitasi baharu kepada karya seni.
Ketiga, bagaimanakah nasib artis yang menghasilkan karya mereka? Bagi mereka, penggunaan teknologi A.I ibarat meragut usaha yang selama ini mereka curahkan untuk belajar dan mengasah bakat kreatif yang dimiliki. Tenaga, masa dan wang ialah harga yang perlu dibayar bagi mencapai segala yang mereka miliki kini. Adakah kesemua perkara itu bernilai jika mereka yang tidak mempunyai latar belakang kreatif juga dapat menghasilkan seni dengan bantuan teknologi A.I?
Lebih merisaukan lagi, apabila terdapat kemungkinan pihak industri tidak lagi memerlukan khidmat manusia. Dengan adanya teknologi A.I, pihak majikan boleh memilih sesiapa sahaja tanpa melihat latar belakang kreatif individu itu untuk belajar mengendalikan teknologi A.I tersebut. Seterusnya, hal ini dapat mengurangkan wang yang dikeluarkan untuk membayar khidmat profesional. Sebelum ini, artis hanya bersaing sesama sendiri tetapi kini artis perlu bersaing dengan teknologi A.I dalam merebut jawatan dalam dunia industri seni kreatif. Oleh hal yang demikian, mereka perlu berusaha dengan lebih keras bagi menunjukkan kebolehan dan kelebihan yang ada pada manusia berbanding dengan teknologi A.I itu sendiri.
Walaupun teknologi A.I memiliki banyak sudut yang negatif, namun sebahagian artis pula melihatnya dari perspektif yang berbeza. Pada pandangan mereka, teknologi A.I ini mempunyai sudut yang positif dan manusia akan rugi jika tidak memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya.
Sudut positif yang pertama ialah teknologi A.I dikategorikan sebagai sebuah alatan lukisan. Secara umumnya, teknologi ini sememangnya boleh diiktiraf sebagai alat seni disebabkan oleh kecanggihan yang diperoleh mengikut peredaran zaman. Teknologi A.I sebagai alat melukis yang mampu memberikan impak yang positif kepada setiap karya yang dihasilkan kerana ketepatan dan kesempurnaan sesebuah lukisan itu mampu mengatasi kepintaran minda manusia.
Dengan kata lain, teknologi A.I mampu mengisi ruang kosong antara sifat yang dimiliki oleh manusia dengan sifat yang sempurna. Misalnya dalam seni bina, seorang arkitek perlu melakarkan sebuah tapak projek pembangunan yang sudah semestinya memerlukan keupayaan teknologi A.I ini bagi memudahkan kerja lakaran dengan lebih cepat, tepat dan mudah.
Kecanggihan teknologi A.I mampu menjimatkan masa dalam proses menyelesaikan lakaran tersebut dan tidak perlu mengambil masa berjam-jam atau berhari-hari hanya untuk membuat lakaran. Perkataan tepat pula merujuk penggunaan kaedah matematik terhadap ukuran tapak dan bangunan, manakala mudah membawa erti bahawa mereka tidak perlu bersusah-payah menyediakan lakaran dengan menggunakan teknik manual yang kadangkala akan mengundang kesalahan semasa proses lakaran.
Selain itu, teknologi A.I dapat membantu artis untuk mencari idea dan gambaran kepada karya atau projek yang diusahakan. Seperti yang diketahui umum, penghasilan sesuatu projek seni itu memerlukan artis untuk memerah minda dan biasanya mengambil masa yang begitu lama.
Dengan adanya teknologi A.I, artis hanya perlu memasukkan data yang dikehendaki dan hasil yang diperoleh membolehkan idea tersebut dikembangkan lagi mengikut kehendak mereka. Selain digunakan dalam mengumpulkan idea, teknologi A.I juga digunakan untuk melatih artis baharu bereksperimentasi dan menajamkan keupayaan minda untuk menjadi lebih kreatif.
Dunia kreatif sememangnya penuh dengan potensi. Kemajuan dalam teknologi A.I membolehkan komputer bersaing dengan manusia dalam bidang analisis, lukisan, lakaran, penulisan dan reka grafik. Pada masa ini, penjana A.I memberikan sesebuah mesin keupayaan untuk mencipta atau menghasilkan karya yang benar-benar baharu selepas mendapat inspirasi daripada sejumlah besar data dan pengetahuan secara dalam talian yang telah terkumpul selama berabad-abad lamanya. Hal ini berpotensi untuk merevolusikan kreativiti manusia dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih profesional dalam menilai semula cara mereka bekerja.
Jika diimbas kembali pada saat seni digital dan fotografi diperkenalkan, penerimaan masyarakat pada ketika itu adalah sama seperti sekarang. Seni digital pada ketika itu dianggap akan melenyapkan aktiviti seni tradisional. Artis muda adalah antara golongan yang berminat dengan seni digital kerana mereka sudah terdedah lebih awal dengan peranti digital. Oleh sebab itu, mereka lebih mudah untuk mengadaptasi seni digital ini.
Walaupun penggunaan seni digital dan fotografi telah meluas tetapi teknologi ini tidak menjatuhkan sebarang bentuk aktiviti seni yang lain. Begitulah sistem teknologi berkembang. Kita hanya perlu menyediakan diri untuk beradaptasi dengan teknologi A.I yang kian menerajui kesemua industri seni. Dunia kreatif ini luas. Dengan wujudnya teknologi A.I, maka cabang bentuk seni semakin bertambah. Suatu seni itu tidak akan “mati” jika masih mempunyai peminat, keperluan, permintaan dan sokongan daripada masyarakat.
Sebagai kesimpulannya, berdasarkan perkongsian ini jelaslah bahawa kesemua kenyataan yang diutarakan tidaklah benar ataupun salah. Setiap orang berhak untuk menyuarakan pendapat masing-masing mengenai penerimaan dan penolakan mereka terhadap teknologi A.I.
Dalam dunia ini, tiada satu teknologi yang mampu dikatakan sempurna dalam setiap aspek. Penulis berharap penggunaan teknologi A.I ini dapat diberikan peluang dalam industri kreatif dan segala kekurangan daripada teknologi A.I dapat diselesaikan dengan kadar segera. Teknologi ini berpotensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas dan mampu memberikan pelbagai manfaat dalam dunia seni.
Rencana ini ditulis bersama-sama Encik Mujahid Naim Musa dan Encik Muhammad Zubair Khairul Ridzwan.