13 Januari 2023, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Majlis Pelancaran Pertandingan Inovasi, Reka Bentuk dan Artikulasi Antarabangsa Keenam 2023 atau The 6th International Innovation, Design and Articulation (i-IDeATM) 2023 hari ini di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Majlis pelancaran bersempena penganjuran i-IDeATM 2023 yang akan berlangsung pada 9 Mei hingga 11 Mei 2023 ini dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad menandatangani buku pelawat disaksikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, beliau menyatakan bahawa untuk Malaysia mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi dan membangun menjelang tahun 2030, kualiti dalam aspek bakat, keusahawanan, inovatif dan daya saing adalah sangat jitu. Bagi menyokong usaha ini, UiTM Cawangan Perlis melalui Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Perlis berbesar hati menganjurkan i-IDeATM 2023.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurutnya, dengan tema “Memperkasakan Penyelidikan, Idea Inovasi dan Keusahawanan ke Arah Ekonomi Mampan”, i-IDeATM 2023 diharapkan dapat mengetengahkan idea inovasi peserta dan berupaya menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis, masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Sukacita ingin saya kongsikan bahawa, maklum balas penyertaan bagi i-IDeATM 2023 amatlah memberangsangkan. Sehingga hari ini, kami telah menerima kira-kira 500 peserta berdaftar dari negara Asean seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia. Selain itu, kami juga menerima penyertaan daripada Iran dan Nigeria.

“Oleh sebab itu, kami percaya bahawa dengan jumlah penyertaan yang begitu besar, program ini akan diiktiraf sebagai platform yang baik untuk para penyelidik berkongsikan ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dalam ucapan perasmiannya, i-IDeATM 2023 yang memperkasakan penyelidikan, inovasi, idea dan keusahawanan ke arah ekonomi mampan adalah benar-benar penting kerana usaha ini memberikan peluang yang baik kepada peserta untuk mengkomersialkan inovasi dan idea, menerbitkan hasil penyelidikan, berkongsikan pengetahuan dan bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan isu semasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad menyampaikan ucapan perasmian i-IDeA 2023.

Program seumpama ini wajar disokong kerana memberikan peluang yang baik dalam mempromosikan budaya penyelidikan dan inovasi dari pelbagai peringkat pendidikan. i-IDeATM 2023 juga mampu meningkatkan kualiti pendidikan dengan peningkatan keberhasilan pelajar dan kecemerlangan sesebuah institusi melalui penyelidikan dan inovasi.

“Saya percaya i-IDeATM 2023 akan berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan kerjasama dan pelibatan antara institusi pendidikan, agensi dan pengamal industri. Saya juga yakin bahawa sinergi ini akan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertukaran maklumat, penjanaan idea baharu dan penerokaan pelbagai kegunaan produk inovasi yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat kita,” jelasnya lagi.

Gimik pelancaran i-IDeA 2023.

 

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi menyampaikan cenderamata kepada YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad.

 

Tetamu yang hadir dalam Majlis Pelancaran i-IDeA 2023 di UiTM Cawangan Perlis hari ini.

Secara khususnya, antara tujuan penganjuran i-IDeATM 2023 termasuklah mempamerkan dan mempertandingkan idea inovasi, daya cipta dan reka bentuk yang dihasilkan oleh ahli akademik dan bukan akademik, agensi dan pelajar daripada peringkat rendah hinggalah IPT tempatan dan luar negara.

Program i-IDeATM 2023 juga menjadi wadah kepada kumpulan penyelidik, ahli akademik dan bukan akademik serta pelajar untuk untuk mengkomersialkan idea inovasi mereka kepada orang awam.

Selain itu, program ini juga dapat menerapkan budaya inovasi melalui penyelidikan di samping mewujudkan kesedaran penyelidikan dalam kalangan pakar, terutamanya dalam komuniti di UiTM Cawangan Perlis.

Pada masa yang sama, i-IDeATM 2023 diharapkan dapat mewujudkan kerjasama dalam kalangan peserta pertandingan serta berpotensi merangsang dan melahirkan bakat kreatif pereka cipta dengan mengadakan pelbagai aktiviti pengisian program sepanjang program ini berlangsung.

i-IDeATM 2023 yang diiktiraf sebagai pertandingan bertaraf antarabangsa ini terdiri daripada tiga kategori utama, iaitu Pertandingan Inovasi, Persidangan Antarbangsa dan Pertandingan Luar.

Bagi kategori Pertandingan Inovasi, acara yang dipertandingkan ialah Crown untuk golongan profesional, orang baharu (novice) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT); Crystal untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, serta komuniti; dan Comiic yang juga terbuka kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT.

Sementara itu, bagi kategori persidangan antarabangsa, acara yang diadakan ialah Persidangan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Antarabangsa (ISTEC); Persidangan Sains Tanah Antarabangsa; dan Persidangan Sains Sukan Antarabangsa (ISSC).

Bagi kategori pertandingan luar pula, acara yang dipertandingkan ialah Cabaran i-Ultra, Cabaran i-Biz, Pertandingan i-Explore dan Festival Idea Berwarna-warni Antarabangsa.

Bagi memastikan kelancaran program i-IDeATM 2023, UiTM Cawangan Perlis turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi luar negara seperti Prince of Songkla University, Pattani, Thailand.

Antara rakan strategi lain yang terlibat dalam penganjuran i-IDeATM 2023 termasuklah Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal, Politeknik Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, Kolej Komuniti Arau, Quest International University, Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, Northern Runners Resources, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan majalah Dewan Kosmik selaku majalah rasmi i-IDeATM 2023.

Turut hadir dalam majlis ini ialah pengurusan dan eksekutif tertinggi UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada Timbalan Rektor Jaringan Industri, Masyarakat, Keusahawanan dan Alumni, YBrs. Sr. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor; Profesor di Fakulti Sains Gunaan, Profesor Dr. Nafisah Osman; wakil daripada rakan strategik i-IDeATM 2023; dan ahli jawatankuasa i-IDeATM 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.