11 Januari 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mencadangkan penubuhan sebuah pasukan pemantauan khas pelbagai agensi yang diketuai oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala terhadap projek pembangunan di Cameron Highlands.

Menterinya, YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa penubuhan pasukan khas ini dijangkakan dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Pengarah Penyelarasan dan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan mengetuai pasukan Pemantau Cerun dan dibantu oleh JMG Pahang bagi memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran dengan kawasan tersebut termasuklah kerja mitigasi,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC.

Tambah beliau, terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 telah mendapat kelulusan dan kini dalam pemantauan berdasarkan siasatan pihak JAS terhadap projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menitahkan agar kajian semula dijalankan terhadap semua projek pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands setelah berlakunya bencana alam di kawasan berkenaan.

Pihak JMG Pahang telah menerima satu surat permohonan ulasan penilaian tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) selepas berlakunya kejadian pertama banjir lumpur yang dilaporkan di Perumahan Pekan Kampung Raja melibatkan sebuah rumah pada 30 Ogos 2022 lalu dan kemudiannya diikuti dengan dua lagi kejadian tanah runtuh di kawasan yang sama pada 17 November 2022 dan 20 Disember 2022.

Beliau juga memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian banjir lumpur disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran dengan kawasan tersebut. Hal ini adalah kerana kawasan tersebut diberikan penarafan bahaya runtuh tahap sederhana-tinggi berdasarkan rekod JMG.

Tambahan pula, situasi tersebut diburukkan lagi dengan pelaksanaan kerja tanah yang tidak mengikut amalan terbaik dan seterusnya menyumbang kepada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur kepada kawasan tadahan yang mempunyai penempatan penduduk.

Siasatan JAS terhadap projek yang menyebabkan kejadian banjir lumpur di Pekan Kampung Raja pada 20 Disember 2022 lalu mendapati bahawa pemaju projek tidak menjalankan laporan EIA serta tidak memohon kelulusan laporan EIA sebelum sebarang kerja dilaksanakan.

Kelulusan laporan EIA ialah input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa melulus. Dalam hal ini, projek tersebut telah diluluskan tanpa EIA dan pelibatan JAS.

Sehubungan dengan itu, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, iaitu dengan mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja di tapak hingga kelulusan Laporan EIA diperoleh.

Pihak pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah remedi bagi mengelakkan kejadian banjir lumpur. Pada masa yang sama, kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.