6 Januari 2023, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membincangkan peluang kerjasama dalam penerbitan rencana dan buku pada petang semalam. Hal ini selaras dengan hasrat DBP untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.

Menerusi kunjungan tersebut, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab, mewakili Dekan FSK menyatakan bahawa pihak FSK mengalu-alukan kedatangan delegasi DBP ke kampus yang menawarkan pelbagai program dalam bidang sains kesihatan.

“Kunjungan DBP amatlah bermakna dan selari dengan hasrat kami untuk menjalinkan kerjasama dengan penerbit berwibawa negara dalam aspek penulisan dan penerbitan, khusus dalam bidang sains,” ujarnya. Tambah beliau lagi:

Kerjasama penerbitan ini diperlukan bagi memenuhi keperluan penarafan bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) II bagi UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan negara.

Delegasi DBP yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat berkata bahawa DBP membuka selebar-lebar peluang untuk kerjasama strategik ini bagi membantu ahli akademik FSK, UKM menerbitkan rencana dan manuskrip yang bermutu tinggi.

“Sebagai institusi akademik yang mempunyai kepakaran antara yang terbaik di Malaysia, UKM pastinya mempunyai banyak hasil penyelidikan dan ilmu baharu yang dijana untuk disebarkan kepada masyarakat,” jelasnya.

Kami di DBP amat berbesar hati menerima dan menerbitkan hasil penulisan daripada ahli akademik dalam bidang masing-masing, sama ada dalam bentuk rencana atau buku untuk disebarluaskan bagi membina bangsa berilmu, berwawasan dan bertamadun.

Menurut Tuan Haji Razali Che Mat lagi, bagi penulisan rencana, DBP mempunyai dua medium penerbitan, iaitu penerbitan bercetak yang diterbitkan pada setiap bulan dan penerbitan digital melalui portal JendelaDBP.

“Pelantar digital JendelaDBP memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada penulis untuk menyumbangkan karya kepada DBP. Sebaran ilmu juga lebih meluas dan menyeluruh melalui platform ini,” jelasnya lagi.

Penyerahan cenderamata daripada Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP kepada Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab mewakili pihak FSK, UKM.

Sementara itu, Profesor Dr. Siti Balkis Budin, Pensyarah Perubatan di Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS) mencadangkan agar DBP mempertimbangkan penerbitan jurnal sains kesihatan dalam bahasa Melayu.

“Pada masa ini, Malaysia hanya mempunyai satu jurnal penyelidikan dalam bidang sains kesihatan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, iaitu Jurnal Sains Kesihatan Malaysia. Memandangkan DBP mempunyai kepakaran dalam penerbitan jurnal dalam bahasa Melayu, kami mengusulkan agar DBP menerbitkan jurnal ilmiah khusus dalam bidang sains kesihatan,” ujarnya.

Tambah Profesor Dr. Siti Balkis Budin, penerbitan jurnal berkenaan akan memberikan manfaat yang besar kepada penyelidik di seluruh negara, menggalakkan lebih banyak penerbitan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan sekali gus membantu dalam perkembangan dan perkongsian ilmu dalam bahasa Melayu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Sesi perbincangan yang berlangsung selama dua jam itu turut berkongsikan maklumat tentang penerbitan majalah bercetak dan digital, penerbitan buku, isu hak cipta, honorarium, penerbitan jurnal dan penganjuran bengkel penulisan.

Turut hadir dalam perbincangan ini ialah Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, Profesor. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib; Pengerusi Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Profesor Madya Dr. Devinder Kaur a/p Ajit Singh; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; wakil pusat kajian, FSK; pensyarah dan pegawai penyelidik, FSK, UKM;  dan beberapa orang editor Jabatan Penerbitan, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.