5 Januari 2023, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdasarkan data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kurang daripada 30 peratus penyelidik di seluruh dunia adalah wanita dan hanya 30 peratus pelajar perempuan yang memilih bidang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat pengajian tinggi.

Sehubungan dengan itu, pihak rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) telah mengundang Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Norilmi Amilia Ismail bagi berkongsikan topik “Galak Wanita Ceburi Bidang STEM dan Aeroangkasa”.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Norilmi Amilia Ismail membincangkan topik yang menggalakkan wanita menceburi bidang STEM dan aeroangkasa.

Menurut beliau, jika diperhatikan bilangan pelajar perempuan yang belajar bidang STEM pada peringkat sekolah adalah lebih banyak. Bahkan, pelajar perempuan yang mengambil jurusan sains pada peringkat pengajian tinggi juga banyak, namun jumlahnya kurang dalam bidang tertentu seperti bidang kejuruteraan.

Beliau menyatakan bahawa hal ini terjadi berikutan beberapa persepsi negatif berkaitan dengan bidang sains itu sendiri. Antaranya termasuklah anggapan bahawa bidang sains ialah bidang yang sukar bagi mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang serta peluang pekerjaan dalam bidang tersebut yang masih kurang di negara ini. Tambah beliau:

Sebenarnya, banyak wanita yang meminati bidang STEM tetapi masalahnya di sini adalah untuk memastikan golongan tersebut masih berada dalam bidang ini setelah tamat pengajian masing-masing.

Jelas beliau, pihak majikan wajar memberikan ruang dan sokongan kepada golongan wanita untuk bekerja dalam bidang ini. Pemikiran majikan yang teragak-agak untuk mengambil golongan wanita untuk bekerja kerana memikirkan mereka akan bercuti lama jika bersalin dan faktor lain adalah antara punca berlakunya keciciran golongan ini dalam bidang STEM setelah tamat pengajian.

“Bagi individu yang berminat dengan bidang aeroangkasa pula, mereka perlu mengetahui definisi bidang tersebut dan mencari maklumat sebanyak yang mungkin berkaitan dengannya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bidang angkasa masih kurang di Malaysia kerana industri ini tidak besar dan baru sahaja hendak membangun. Oleh sebab itu, peluang pekerjaan dalam bidang ini pada masa sekarang amat terhad.

Kerajaan dan industri perlu memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini buat para graduan. Saya juga sebagai pemilik syarikat SpaceIn telah membuka peluang pekerjaan kepada para graduan untuk menjadikan mereka sebagai sebahagian daripada pekerja.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau memaklumkan bahawa program Space4Women yang dilaksanakan oleh Projek Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Angkasa (UNOOSA) adalah untuk berkongsikan pengalaman dan memberikan tunjuk ajar kepada individu yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang industri angkasa. Yang menariknya, program ini terbuka untuk semua golongan wanita tanpa mengira usia. Sebanyak 100 orang pembimbing telah terpilih dalam program ini termasuklah beliau.

Menyentuh mengenai perkembangan industri angkasa di Malaysia, beliau menyatakan bahawa industri dalam bidang ini semakin berkembang. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya beberapa buah syarikat pemula dalam industri ini.

“Bidang aeroangkasa sememangnya memberikan kesan yang baik kepada ekonomi dan menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat sebagaimana misi kerajaan dalam Program Penerokaan Angkasa Lepas Malaysia 2030 (Malaysia Space-X 2030),” ujarnya menutup sesi perbincangan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.