5 Januari 2023, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser kerana telah dikenal pasti mengandungi racun berjadual.

Lanjutan daripada itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik tersebut dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Produk yang mengandungi Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ubat ini hanya boleh digunakan dengan nasihat daripada ahli profesional kesihatan. Sekiranya produk ini digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan, pengguna berisiko tinggi untuk mendapat kesan sampingan yang negatif.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media, Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu dengan produk tersebut, mengakibatkan ketidakselesaan, warna kulit mengalami perubahan yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Selain itu, bahagian kulit juga boleh menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari jika Tretinoin digunakan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan.

Penyalahgunaan Betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan kulit muka pengguna menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, berlaku perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan kesihatan.

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambah beliau lagi, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25 000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Jika melakukan kesalahan yang berikutnya, individu tersebut akan didenda tidak melebihi RM50 000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50 000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 000 untuk kesalahan yang seterusnya.

Oleh yang demikian, orang awam yang menggunakan produk ini diharapkan dapat menghentikan penggunaannya serta-merta. Jika pengguna produk mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers, pengguna tersebut perlu mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan dengan segera.

Status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di pautan www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.