31 Disember 2022, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Teknologi angkasa telah mula dimanfaatkan sejak tahun 1988 lagi. Setelah lebih daripada 20 tahun, rakyat Malaysia telah memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga jenis teknologi angkasa secara keseluruhannya dari semasa ke semasa.”

Demikian kupasan daripada Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah semasa sesi temu bual dalam slot rancangan TV AlHijrah, semalam.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah.

Menurut beliau, antara teknologi angkasa yang dimanfaatkan itu adalah sebagai penentu kedudukan di muka bumi. Kedua, teknologi ini juga digunakan sebagai teknologi yang berkaitan dengan komunikasi seperti televisyen, telefon dan radio yang bergantung pada satelit yang telah dirancangkan. Ketiga ialah kegunaan teknologi satelit yang merujuk penggunaan maklumat permukaan bumi yang dikenali sebagai teknologi penderiaan jauh.

Tambah beliau, teknologi penderiaan jauh ini banyak dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuklah bagi aspek pengurusan kehidupan, pengurusan sumber, bencana, keselamatan dan sebagainya. Pada hakikatnya, teknologi penderiaan jauh ini telah dibangunkan dari segi huluan dan hilirannya hingga hari ini.

Menjawab persoalan berkenaan dengan manfaat teknologi angkasa dalam kehidupan, beliau menjelaskan bahawa keistimewaan teknologi angkasa ini menawarkan pelbagai aspek dalam pengurusan. Hal ini adalah disebabkan oleh keadaan negara yang kini berhadapan dengan kecelaruan cuaca dan pelbagai proses kehidupan di luar jangkaan.

Sesi temu bual bersama-sama Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), YBrs. Gs. Haji Azlikamil Napiah dalam slot rancangan TV AlHijrah.

Beliau turut memaklumkan bahawa teknologi angkasa menawarkan beberapa perkara. Tawaran pertama adalah dari segi pengurusan sistem keselamatan makanan. Sebagai contohnya, nelayan boleh menentukan lokasi untuk menangkap ikan dengan menggunakan teknologi ini.

Tawaran kedua pula ialah para petani dapat dibantu dengan adanya teknologi angkasa. Hal ini jelas dapat dilihat apabila MYSA bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membantu menguruskan 12 jelapang padi di seluruh negara agar petani dapat memantau, merancang dan akhirnya memastikan pengeluaran padi di negara ini dapat dihasilkan sepertimana yang dijangkakan. Tambah beliau lagi:

Teknologi angkasa juga menawarkan pelbagai maklumat permukaan bumi. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita memerlukan instrumen yang penting untuk mengurus muka bumi ini. Oleh sebab itu, teknologi angkasa dapat digunakan untuk memudahkan kehidupan manusia dalam mengurus urusan seharian.

Seterusnya, maklumat yang dikumpul oleh satelit biasanya berulang-ulang. Oleh yang demikian, masyarakat akan dapat melihat rentetan maklumat yang lengkap sekali gus membantu manusia melaksanakan segala aktiviti dengan baik.

Di samping pelbagai manfaat daripada penggunaan teknologi angkasa ini, terdapat juga pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Antara cabarannya adalah dari segi pemahaman dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi angkasa yang bukan sahaja berkaitan dengan angkasawan dan satelit tetapi maklumat yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menjana pelbagai aplikasi.

Walau bagaimanapun, cabaran ini semakin baik apabila negara di seluruh dunia menghadapi cabaran seperti perubahan cuaca dan ancaman pandemik. Di sinilah pentingnya teknologi supaya masyarakat tidak lagi berhadapan secara fizikal dan adanya teknologi atau medium yang boleh mengawal sesuatu dari jauh.

Sementara itu, program Eksplorasi Aeroangkasa Malaysia 2030 adalah satu daripada program besar di bawah Dasar Angkasa Negara 2030 dan MYSA bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaannya. Program ini mempunyai satu ekosistem yang lengkap daripada pengguna, pembangun sektor angkasa, sektor bumi dan menjana ilmu kepakaran tempatan. Program ini sememangnnya sedang rancak dijalankan supaya negara memiliki kepakaran dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi angkasa untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan negara.

Dalam sesi temu bual tersebut, beliau juga memaklumkan bahawa program Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi atau lebih dikenali sebagai program LIMA yang akan diadakan di Langkawi bersama-sama penganjurnya pada tahun hadapan akan diwujudkan kluster yang khusus untuk memaparkan teknologi angkasa. Kelainan ini seharusnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat untuk memahami, mendalami dan menerima penggunaan teknologi angkasa dalam kehidupan.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau berpandangan bahawa sekiranya teknologi ini dapat dibangunkan dengan kepakaran tempatan yang mencukupi dan mendapat sokongan daripada semua pihak, teknologi angkasa berpotensi untuk menyumbang kepada sumber ekonomi baharu negara menjelang tahun 2023 dan menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda yang kini berkecimpung dalam teknologi angkasa sama ada pada peringkat pelajar atau dalam bidang industri. Pada masa yang sama, MYSA mensasarkan Malaysia akan menjadi antara tiga negara teratas dalam memanfaatkan teknologi angkasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.